Tiada hasrat naikkan usia persaraan
Kerajaan tidak berhasrat untuk meningkatkan usia persaraan seperti yang dicadangkan oleh Bank Dunia semalam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata pelbagai faktor perlu dikaji terlebih dahulu jika mahu meningkatkan usia persaraan sehingga umur 65 tahun.
"Kita kena kaji laporan dan asas (tingkatkan usia persaraan) serta lihat isu sosial yang ada sekarang ini. Kena lihat juga jangkaan umur serta daripada segi demografi negara.
"Walaupun ini cadangan Bank Dunia tapi kita perlu lihat terlebih dahulu sebelum melaksanakannya," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Mohd Khairul Adib berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menolak pelaksanaan cadangan berkenaan pada masa akan datang sekiranya ada keperluan berbuat demikian.
"Jika ada keperluan untuk berbuat demikian dan lihat pada segi demografi pengangguran pada masa itu, mungkin kita boleh laksanakan.
"Kita kini sangat sensitif dengan kedudukan kewangan negara dan buat masa ini belum ada perbincangan rasmi mengenai hal itu dan kita belum mahu laksanakan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Malaysia perlu meneliti semula dasar had usia persaraan berikutan statusnya sebagai negara mempunyai masyarakat berusia atau menua.
Wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Firas Raad dilaporkan berkata, aspek demografi Malaysia berganjak ke era dengan kadar kesuburan dan kematian rendah berbanding paras lebih tinggi sebelum ini.
Buat masa ini, Malaysia menetapkan had umur persaraan ditetapkan pada usia 60 tahun.
Sumber : Berita Harian