Syarat ketat bagi pemilikan senjata api walau untuk jaga tanaman
Hanya individu yang benar-benar memerlukan dan berkelayakan sahaja akan diluluskan pemilikan lesen dan permit senjata api.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kelulusan senjata api sama ada pistol atau senapang patah secara beli baharu atau pindah milik dipertimbangkan dengan berhati-hati dan ketat kerana ia peralatan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai garis panduan yang komprehensif bagi menimbang setiap permohonan lesen atau permit senjata api.
"Bagi permohonan senjata api untuk tujuan membasmi musuh tanaman, pemohon hendaklah memenuhi antaranya melepasi tapisan keselamatan, memiliki tahap kesihatan yang baik, bergantung hidup kepada hasil pertanian dan mempunyai tanah pertanian sendiri.
"Selain itu, pemohon menetap di kawasan berkenaan dan mengalami kerosakan hasil tanaman yang serius," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) adakah kementerian akan memberikan sedikit kelonggaran syarat permohonan lesen senjata api kepada pemilik tanaman yang ingin memiliki lesen bagi menguruskan musuh tanaman.
Katanya, bagi pemilik kebun yang tidak memiliki atau tidak dipertimbangkan lesen atau permit senjata api, sekiranya mereka mempunyai masalah ancaman musuh tanaman, pihaknya mencadangkan supaya mereka mendapatkan bantuan Jabatan Perhilitan atau anggota RELA setempat untuk membantu mengatasi masalah ancaman terbabit.
Sumber : Berita Harian