Pengantin Remaja berkahwin pada usia 15 tahun

 

"Kami tak sangka bergelar suami isteri pada usia remaja begini, Allah sudah tentukan jodoh kami tiba awal," itu jawapan pengantin remaja, Nurin Irdina Mohd Muhizan dan Ahmad Faris Umar Alwi, masing-masing berusia 15 dan 17 tahun.

Ketika ditemui di rumah Ahmad Faris Umar dekat Taman Kenanga di Tanah Merah, Kelantan, pasangan pengantin yang baharu 10 hari melangsungkan perkahwinan itu, kelihatan berseri dan masih malu-malu dengan inai masih merah di jari pengantin perempuan.

Nurin Irdina berkata, dia dan suami berkenalan lapan bulan lalu dan saling berhubung menerusi telefon bimbit sebelum hubungan itu diketahui keluarga Ahmad Faris Umar.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mahmud Paduka Raja (1) itu, berkata keluarga Ahmad Faris Umar kemudian datang bertemu keluarganya dan mencadangkan agar disatukan mereka berdua untuk menghalalkan hubungan.

"Ketika diberitahu mengenai perkara itu, saya agak terkejut dan langsung tidak menyangka bahawa keluarga akan mengambil keputusan sedemikian, namun saya tidak membantah malah sedikit teruja.

"Segala persiapan dilakukan dalam tempoh dua bulan. Malah segala-galanya kelihatan dipermudahkan sehinggalah pada 20 Disember lalu kami sah bergelar suami isteri," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya. 

Nurin yang juga anak sulung daripada lima beradik, berkata walaupun sudah berhenti sekolah, namun dia tetap menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi di sekolah swasta.

Perkahwinan remaja itu tular sejak semalam, apabila video dan foto mereka mengenakan busana pengantin dipaparkan media sosial, hingga mengundang perdebatan dalam kalangan netizen mengenai perkahwinan mereka yang berlangsung pada usia muda. 

Dalam foto yang dikongsikan menerusi laman sosial itu, pasangan itu mengenakan songket berwarna biru ketika majlis persandingan dan resepsi yang diadakan di sebuah restoran milik keluarga Ahmad Faris Umar.

Ahmad Faris Umar yang juga bekas Pelajar Sekolah Menengah Ugama (Arab) Rahmaniah Paloh di sini, berkata perkenalannya dengan isteri pada awalnya sebagai pembeli dan penjual dalam talian.

Dia yang membeli kabel telefon daripada Nurin Irdina, berjumpa buat kali pertama selepas barangan yang dipesannya itu dihantar ke rumah dan sejak itu mereka berhubung menerusi telefon bimbit.

"Sebaik mendengar cadangan daripada emak agar saya berkahwin, memang tidak percaya dan anggap ia satu gurauan namun apabila mengetahuinya adalah serius, saya terus bersetuju.

"Buat masa kini kami berulang-alik di rumah saya di sini manakala rumah Nurin di Kampung Chawas, tidak jauh dari sini. Sebelum ini saya bekerja dengan ayah yang mengusahakan perniagaan hartanah, namun kini akan memberi tumpuan kepada perniagaan dalam talian bersama isteri," kata anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

Sementara itu, ibu Ahmad Faris Umar, Zalaha Hassan, 56, berkata keputusan mengahwinkan anak bongsunya itu dipersetujui suami, Alwi Ismail, 63, yang ingin segera menghalalkan hubungan pasangan itu.

Beliau berkata, suaminya seorang yang tegas dan sebaik mengetahui dua remaja itu sedang berhubung walaupun hanya menerusi telefon, tanpa berfikir panjang mereka segera membuat keputusan menghalalkan hubungan.

"Faktor usia muda bukan isu utama bagi kami dan apa yang lebih penting adalah menghalalkan mereka kerana di zaman sekarang, banyak isu sosial yang semakin membimbangkan dan sekurang-kurangnya ia jalan terbaik buat mereka berdua," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url