Hanya ambil makanan diyakini halal - Mufti Kedah

 


Umat Islam perlu meninggalkan makanan diragui atau syubhah, dan hanya mengambil yang diyakini halal, kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Katanya, Islam sudah menyediakan garis panduan sangat jelas dalam menghadapi isu makanan yang diragui status halal.

Beliau berkata, ia selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud 'tinggalkanlah suatu yang diragui, ambil yang benar-benar diyakini'.

"Sehubungan itu, umat Islam mesti mengambil berat dan memandang serius perkara ini kerana makanan akan menjadi darah daging.

"Seseorang yang membesar dengan makanan haram, adalah sangat sukar dibentuk, doa tidak mustajab serta tidak mendapat rahmat Allah SWT pada hari pembalasan," katanya ketika diminta mengulas isu kartel daging sejuk beku yang diragui status halal.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat oleh syarikat Ayam Bismi, di sini, semalam.

Fadzil berkata, pihaknya sangat kesal jika terbukti benar berlaku pemalsuan status halal produk terbabit, kerana ia adalah adalah perbuatan tidak bertamadun dan bermaruah di sisi agama.

Malah, beliau menegaskan, wang diperoleh daripada kegiatan sedemikian adalah haram serta tidak boleh dijadikan sumber rezeki makan minum orang Islam.

"Justeru di sini, kita melihat peri pentingnya industri penternakan diusahakan oleh orang Islam sendiri.

"Semoga isu ini memberi pengajaran dan iktibar kepada kita semua.

"Kita juga berharap kerajaan dan kementerian berkaitan dapat berusaha menjadikan Malaysia negara penternak, pengeluar dan pengedar daging halal," katanya.

Beliau sekali gus menasihati peniaga Islam di negara ini supaya merujuk senarai pembekal daging import diyakini halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mendapatkan bekalan produk berkenaan.

Sumber : Berita Harian

 

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url