Tanya Pakar@Unisza tawar khidmat nasihat percuma dalam 13 bidang
Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) meneruskan komitmen memberi khidmat nasihat secara percuma kepada masyarakat dengan memperkenal inisiatif Tanya Pakar.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pendekatan terbaharu itu membolehkan orang ramai mendapatkan khidmat nasihat membabitkan 13 bidang utama secara dalam talian.
Katanya, bidang itu termasuk perniagaan dan pengurusan, agama, undang-undang, pertanian, kebajikan sosial, komputer, kerjaya, terapi seni, alam sekitar serta permasalahan orang kurang upaya (OKU).
“Kemudahan Tanya Pakar ini beroperasi setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu, dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
“Sistem ini memudahkan komuniti menghubungi pakar di Unisza yang sentiasa bersedia membantu sekali gus menyelesaikan segala permasalahan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hassan Basri berkata, Unisza bersedia menambah bidang-bidang lain jika diperlukan oleh masyarakat dalam menyelesaikan setiap masalah mereka.
Katanya, platform yang diperkenal itu seiring dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk mewujudkan Universiti Untuk Masyrakat (U4S) dan Community Heroes yang dihasratkan.
“Sehubungan itu, saya berharap komuniti setempat dan rakyat Malaysia dapat memanfaatkan ilmu-ilmu dan kepakaran ini bertepatan dengan motto Unisza, ilmu demi faedah insan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, layari https://tanyapakar.unisza.edu.my/