Cuaca lebih panas dan kering hingga September 2021
Malaysia kini mengalami Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca panas dan kering hingga pertengahan September, namun tiada gelombang haba berlaku setakat ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk status gelombang haba di seluruh negara dan menyebarkan maklumat kepada agensi berkaitan untuk tindakan penguatkuasaan dan persiapan menghadapi bencana.
"Berdasarkan pemantauan MetMalaysia terhadap gelombang haba hingga hari ini, tiada kawasan di negara ini yang terdedah dengan sebarang gelombang haba," katanya menerusi e-emel bagi mengulas cuaca panas yang dialami negara pada masa ini.
MetMalaysia berkata, stesen meteorologinya tidak merekodkan suhu lebih 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, justeru pihaknya tidak menjangka suhu akan melebihi 40 darjah Celsius.
Katanya, suhu 40.1 darjah Celsius adalah yang tertinggi direkodkan di Malaysia ketika fenomena El Nino melanda negara pada 1998.
"Dari segi perubahan cuaca, kami menjangka berlaku hujan lebat, angin kencang dan kelembapan tinggi disebabkan Malaysia sedang beralih monsun khususnya di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, selain pantai barat Sabah dan wilayah tengah dan barat Sarawak," katanya.
Sementara itu, Pakar Klimatologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang berkata, gelombang haba di Malaysia dikaitkan dengan kebolehubahan cuaca iaitu Madden-Julian Oscillation (MJO) dan El Nino.
"Madden-Julian Oscillation adalah fenomena biasa yang berayun dengan kekerapan sekali dalam tempoh 20 ke 60 hari.
"Ketika Monsun Barat Daya, ia boleh meningkatkan suhu satu ke dua darjah hingga sekitar bawah 40 darjah Celsius bergantung kepada kawasan. Malah, kita sudah mengalaminya sekarang," katanya.
Beliau berkata, ini kejadian biasa disebabkan pengaruh pusat perolakan MJO yang dipertingkat, membawa ketidakstabilan kelembapan dan cuaca ke Malaysia, selepas itu, pusat perolakan dipertingkat disusuli pusat perolakan dikurangkan yang menyebabkan cuaca panas dan kering di Malaysia.
Katanya, ini bukan gelombang haba yang luar biasa kerana Madden-Julian Oscillation adalah fenomena berulang yang menyederhanakan suhu basah-kering di negara ini.
Seorang lagi pakar perubahan iklim, Dr Renard Siew berkata, gelombang haba ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia berlaku setiap tahun dengan variasi.
"Kesan pulau haba bandar (kawasan bandar mengalami suhu lebih tinggi dari luar bandar), juga satu lagi penyebab peningkatan suhu," katanya.
Beliau berkata, dari sudut pandang perubahan iklim, ia tidak banyak memberi kesan daripada perspektif pemanasan global, namun ia juga menyebabkan kawasan yang biasanya mendapat jumlah air yang banyak tidak lagi mendapat taburan hujan seperti itu.
Katanya, disebabkan ia kejadian biasa, gelombang haba ini perlu dipantau turun naik suhunya.
Sumber : BERNAMA