Boleh merentas negeri mulai 11 Oktober 2021 untuk individu lengkap vaksin
Kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada Keluarga Malaysia yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Alhamdulillah, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.
"Bagaimanapun, data terkini akan dikemas kini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini," katanya pada sidang media.
Serentak itu, katanya, Keluarga Malaysia dibenarkan untuk melakukan aktiviti pelancongan ke mana-mana negeri, selain bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang sudah lama berpisah dan sebagainya.
"Inilah sebenarnya yang ditunggu-tunggukan masyarakat seperti saya sebutkan di peringkat awal tadi, kita terpaksa tegas dari segi soal rentas negeri ini. Seperti dijanjikan, mulai esok bolehlah rakyat Malaysia melakukan pergerakan rentas negeri.
"Saya percaya ramai tunggu pengumuman ini kerana terlalu ramai yang sudah terlalu rindu untuk pulang ke kampung bertemu ibu bapa, keluarga dan sebagainya. Jadi Keluarga Malaysia sudah bebas lakukan perjalanan pulang ke kampung.
"Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas
kerjasama diberikan selama ini dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menyokong
kempen imunisasi COVID-19," katanya sidang media khas, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Keluarga Malaysia dinasihat agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran perjalanan rentas negeri yang diberikan.
"Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi dan persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.
"Jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak COVID-19 ini akan kembali meningkat. Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus COVID-19," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, remaja berusia 12 hingga 17 tahun dan kanak-kanak yang belum divaksin juga dibenarkan untuk menikmati kelonggaran rentas negeri walaupun belum menerima vaksin COVID-19.
Beliau berkata, ia selepas mengambil kira faktor kanak-kanak masih tidak boleh diberi pelalian berkenaan.
Selain itu, katanya, tiada prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dikeluarkan bagi kelonggaran berkenaan bagi negeri yang belum mencapai kadar vaksinasi 80 peratus.
"Kita lihat kepada purata keseluruhan di seluruh negara apabila capai 90 peratus. Ada negeri (kadar vaksinasi) yang lebih 100 peratus dan ada yang masih kurang.
"Bagaimanapun, tiada SOP baharu akan diperkenalkan (bagi negeri yang belum mencapai 80 peratus kadar vaksinasi).
"Bagi kanak-kanak pula, ibu bapa merekalah yang sepatutnya tidak membawa mereka ke tempat perhimpunan ramai dan mereka boleh untuk rentas negeri," katanya.
Sumber : Berita Harian