Rumah mampu milik mesti berharga bawah RM300,000

 

 

Hartanah berpatutan mesti memenuhi kriteria seperti harga di bawah RM300,000 dibina dengan keluasan minimum 900 kaki persegi (tidak termasuk balkoni) serta lokasinya berhampiran dengan kemudahan awam, demikian menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Datuk Chang Kim Loong.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan dicadang agar mewujudkan satu bank data yang mengumpulkan maklumat berkaitan projek perumahan bagi menyelaraskan informasi seperti jumlah unit dibina, lokasi dan harga.

Beliau berkata, maklumat mengenai projek perumahan mampu milik dalam pembinaan atau perancangan oleh pelbagai penyedia perumahan kerajaan atau swasta, agensi ekonomi negeri, badan persekutuan dan skema pembiayaan boleh didapati oleh orang awam dalam pangkalan data sama.

"Hanya tekan satu butang, kita boleh mendapatkan maklumat diperlukan seperti jenis, lokasi dan harga unit rumah yang tersedia atau harta berstrata.

 "Ia membolehkan individu mengetahui mengenai unit yang tersedia mengikut kategori rendah, sederhana dan berpatutan dalam komuniti mereka dan pilihan pembiayaan yang ada," katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM2.25 bilion bagi menyediakan bantuan perumahan kepada rakyat miskin selain membina 500,000 lagi unit rumah mampu milik bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memilik rumah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Kerajaan juga akan menambah baik kemudahan pembiayaan termasuk Dana untuk Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Prgram Rent-to-Own (RTO) bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak terbeban dengan bayaran ansuran.

Kim Loong berkata, agensi kerajaan tidak mungkin membina blok apartment di kawasan yang hanya ada permintaan hartanah atau rumah siap atau dibina secara praktikalnya tidak ada permintaan dan hanya menambah statistik 'overhang' (dibina dan tidak terjual).

Sementara itu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menyambut baik usaha serius kerajaan yang memberi tumpuan kepada isu perumahan buat golongan B40 dan M40 dalam RMK12.

Presidennya, Datuk Soam Heng Choon berkata inisiatif berkenaan memberi lebih peluang kepada golongan terbabit dalam memiliki kediaman sendiri memandangkan ia mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat.

"Namun, harus diingat rumah yang bakal dibina seharusnya berada dalam lokasi bersesuaian berlandaskan permintaan yang ada," katanya.

Sumber : BERNAMA

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url