Biasiswa Khazanah kepada 104 penerima
Seramai 104 pelajar menerima Biasiswa Khazanah menerusi Yayasan Khazanah bagi menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.
Daripada jumlah itu, seramai 37 orang menerima biasiswa menerusi Program Biasiswa Global Khazanah, Program Biasiswa Watan Khazanah (62) dan lima orang menerima Program Biasiswa Lestari Khazanah yang baru diperkenal pada tahun ini.
Pengerusi Yayasan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata penubuhan Biasiswa Khazanah membolehkan pelajar yang layak melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT) dan memanfaatkan peluang menambah ilmu secara berterusan.
"Saya pasti pelbagai cabaran yang perlu diharungi sepanjang perjalanan sehingga membuatkan mereka layak menerima biasiswa ini.
"Usaha gigih mereka amat berbaloi apabila berjaya menerima biasiswa seterusnya menyambung pengajian bagi mengejar cita-cita," katanya.
Beliau berkata demikian pada Hari Anugerah Yayasan Khazanah 2021 yang diadakan secaya maya, hari ini.
Turut diraikan pada majlis dengan tema 'Memperkasa Modal Insan Hari Ini sebagai Pencetus Perubahan Masa Depan' itu 54 penerima biasiswa sedia yang mencatatkan prestasi cemerlang.
Shahril Ridza berkata, tema tahun ini mencerminkan warisan 15 tahun Yayasan Khazanah mengiktiraf kecemerlangan pendidikan dan memupuk pembangunan pelajar dengan menggalakkan mereka untuk berbakti kepada masyarakat.
"Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah biasiswa. Kami percaya semua penerima berpotensi membawa impak positif berganda terhadap kehidupan insan lain," katanya.
Biasiswa Khazanah yang bermula sejak tahun 2006 berjaya membantu seramai 1,233 penerima biasiswa menyambung pengajian mereka dengan seramai 655 penerima sudah menamatkan pengajian.
Sementara itu, penerima Biasiswa Khazanah Watan, Izzati Kausar Azman, 23, dari Kulim, Kedah berkata, dia terharu apabila menerima biasiswa bagi membolehkannya menyambung pengajian dalam Sarjana Mikrobiologi Perubatan di Universiti Malaya.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, menyedari ibunya berseorangan perlu membesarkan dia dan adik beradik lain, membuatkan dia nekad memohon biasiswa itu bagi meringankan beban keluarga.
"Saya bersyukur kerana permohonan diluluskan dan ini membolehkan saya meneruskan minat untuk mendalami aktiviti penyelidikan seterusnya mengejar cita-cita menjadi penyelidik mikrobiologi," katanya.
Penerima sulung Biasiswa Lestari Khazanah, Dawn Scholastica Adrian, berkata biasiswa yang diterima itu dapat membantunya dari segi kewangan untuk mengikuti pengajian Sarjana Pembangunan Pendidikan Antarabangsa di University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Dia yang bercita-cita menjadi Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, berharap hasratnya suatu hari nanti untuk mewujudkan peluang pendidikan saksama di Sarawak dan di seluruh Malaysia akan tercapai.
"Saya percaya sokongan daripada Yayasan Khazanah dengan menawarkan biasiswa ini, membolehkan saya menghampiri hasrat dan cita-cita saya," katanya.
Penerima Biasiswa Global, Tan Gary, 23, dari Pontian, Johor, berkata kejayaan menerima Biasiswa Khazanah amat bermakna kerana beliau generasi pertama dalam keluarga yang berjaya melanjutkan pengajian di universiti.
Dia yang akan menjadi pelatih graduan di Khazanah Nasional Berhad bulan hadapan, sebelum ini menyambung pengajian di Kolej Imperial London dalam bidang biokimia.
"Kejayaan menerima biasiswa amat bermakna bagi diri saya dan ia benar-benar mengubah kehidupan saya dengan membolehkan saya menimba pengalaman pendidikan yang luar biasa di institusi terkemuka dunia.
Sumber : Berita Harian