4,053 perjawatan tetap tambahan KKM diluluskan

 


Seramai 4,053 permohonan membabitkan perjawatan tetap sebagai pegawai perubatan, pergigian dan farmasi diluluskan hari ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, ia adalah jumlah penambahan jawatan tetap tertinggi pernah direkodkan sejak 2016.

"Kita telah membuat cadangan dan diterima oleh Kabinet supaya penambahan jawatan tetap dimulakan pada tahun ini dan Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 8,672 permohonan.

"Daripada jumlah itu, 8,052 calon hadir untuk temu duga. Calon yang diluluskan jawatan tetap adalah seramai 3,215 untuk pegawai perubatan, 438 bagi pegawai pergigian dan 400 pegawai farmasi," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Khairy berkata, sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap setiap tahun ditawarkan kepada pegawai kontrak sejak dasar pengambilan secara kontrak dimulakan enam tahun lalu.

"Kita akan tentukan dasar nanti selepas bincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sama ada mereka yang tidak berjaya boleh memohon semula atau tidak pada tahun depan. Pandangan saya, eloklah untuk mereka dibenarkan berbuat demikian, namun kita akan berbincang dari segi peraturan dengan SPA," katanya.

Mengulas kekecewaan pegawai perubatan yang gagal mendapat tempat, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan akan memastikan mereka mendapat laluan kerjaya, insentif dan peluang untuk menyambung latihan di peringkat kepakaran.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 8,686 jawatan tetap tambahan membabitkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan diwujudkan di KKM sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url