Kehadiran orang ketiga punca perceraian meningkat di Kedah

 


Kehadiran dan campur tangan orang ketiga menjadi antara punca berlaku peningkatan sehingga 23 peratus jumlah kes cerai dalam kalangan pasangan beragama Islam pada tahun lalu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Halimaton Shaadiah Saad, berkata peningkatan 23 peratus itu didapati apabila sebanyak 3,245 kes cerai direkod pada tahun lalu, berbanding hanya 2,586 pada 2021.

"Antara punca perceraian ini berlaku adalah disebabkan faktor kewangan, tidak bertanggungjawab, kurang ilmu mengenai peranan suami dan isteri, tidak kuat pegangan agama, kehadiran dan campur tangan orang ketiga.

"Sebagai usaha membantu pasangan ini, kita mewujudkan Program Raikan Cinta khusus kepada pasangan yang menghadapi krisis rumah tangga bertujuan mengeratkan semula tautan kasih sayang antara suami dan isteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Halimaton yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, berkata program itu didapati dapat memberi pendedahan kepada pasangan mengenai ilmu perkahwinan, keagamaan dan tanggungjawab yang perlu dipikul pasangan.

"Program Raikan Cinta ini juga sudah dilaksana dua kali dan akan diteruskan lagi berikutan sambutan penyertaan yang diterima adalah tinggi dalam kalangan pasangan.

"Ini menunjukkan matlamat program ini tercapai dalam membantu pasangan membina keluarga sakinah, warahmah dan mawaddah. Pada masa sama, Pejabat Pembangunan Wanita Kedah sentiasa mengadakan program advokasi bagi meningkatkan pengetahuan wanita berkenaan hak pembelaan dalam undang-undang," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) melalui Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam juga menawarkan khidmat nasihat, sesi kaunseling dan motivasi untuk membantu wanita yang terkesan akibat masalah perceraian.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url