PERODUA setuju beli balik Bezza 'bergula'


Seorang kerani di Segamat yang tular di media sosial berikutan PERODUA Bezza miliknya rosak selepas tidak sampai lapan jam dibelinya, kini mampu tersenyum lega.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Ini selepas pengeluar kenderaan berkenaan, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bersetuju untuk membelinya semula dengan harga penuh.

Perkara itu dikongsikan pemilik kenderaan berkenaan, Nagakanni Subramaniam menerusi satu catatan pada akaun Facebook miliknya kira-kira sejam lalu.

Nagakanni, 31, yang bekerja sebagai kerani membeli kereta berkenaan dari sebuah pusat jualan kenderaan di Segamat, pada 17 Oktober lalu.

Katanya, dengan perkembangan itu bermakna ia tidak lagi perlu membayar ansuran bulanan PERODUA Bezza itu manakala bayaran terdahulu akan dipulangkan semula.

"PERODUA akhirnya setuju untuk beli semula kereta saya dengan harga penuh.

"Dengan keputusan ini, saya tak perlu lagi bayar bulan-bulan untuk kereta lama dan semua bayaran sebelum ini pun akan dapat semula pemulangan wang.

"PERODUA juga memberi tawaran untuk saya beli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau saya menolak tawaran ini dan beli kereta lain.

"Saya perlu buat keputusan dalam tujuh hari.Terima kasih PERODUA atas keputusan ini," katanya dalam hantaran berkenaan.

Sebelum ini, Nagakanni dalam perkongsiannya di media sosial mengeluh kerana terpaksa membayar pinjaman bulanan kenderaan terbabit sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan itu rosak dan tersadai di pusat servis.

Susulan itu, beliau memohon mendapatkan gantian kereta baharu sebelum diminta menunggu keputusan dari ibu pejabat PERODUA yang memerlukan tempoh dua minggu hingga sebulan.

Sebaik isu terbabit tular, PERODUA dalam satu kenyataan memaklumkan berlaku kerosakan enjin pada kenderaan itu yang berpunca daripada bendasing seperti gula di bahagian enjin.

PERODUA turut memberi jaminan untuk mengutamakan kes itu dan menepis dakwaan bahawa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak syarikat untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Dalam hantaran sama, Nagakanni turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada netizen yang banyak membantu terutama memberikan sokongan dalam usahanya menuntut hak sebagai seorang pengguna.

"Yang paling penting, terima kasih kepada semua yang membantu saya menuntut hak ini. Saya terhutang budi dengan anda.

"Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya semut. Tapi saya belajar sesuatu.

"Walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya, kerana gula, semut bersatu," katanya.

Hantaran berkenaan mendapat lebih 7,795 tanda suka, 1,125 komen dan 1,822 perkongsian semula daripada warganet yang kebanyakannya berpuas hati dengan keputusan terbabit.

Seorang pengguna Facebook, Ary Zaharian's, dalam komen pendeknya menulis 'semut Malaysia terbaik!, manakala seorang lagi warganet, Farah Wahida memuji dengan komen 'mantap netizen Malaysia'.

Sumber dari Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url