BNM perkenal Akta Kredit Pengguna (CCA) kawal kredit bukan bank




Penyedia produk kredit baharu seperti perkhidmatan 'Beli Sekarang Bayar Kemudian' yang semakin popular dalam kalangan anak muda, terutama yang baru bekerja, dijangka dikawal lebih ketat melalui Akta Kredit Pengguna (CCA) yang sedang digubal.

-ADVERTISEMENT-

Di bawah CCA, kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) akan memastikan entiti bukan bank yang ketika ini tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak berkuasa, mematuhi peraturan dan amalan penyediaan kredit yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Rangkuman Kewangan BNM, Nor Rafidz Nazri, berkata untuk itu, satu badan berwibawa akan ditubuhkan pada peringkat awal yang bertanggungjawab melakukan kawal selia entiti yang menawarkan produk perkhidmatan berkenaan.

"Bagi memperkukuhkan lagi perlindungan pengguna kredit di Malaysia, kerajaan juga menggubal Akta Kredit Pengguna.

"Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna yang diterajui Kementerian Kewangan (MoF) dan dua agensi iaitu BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, bertanggungjawab menyediakan rangka kerja komprehensif mengenainya.

"Ia bertujuan mengawal selia amalan entiti bukan bank yang menyediakan perkhidmatan kredit kepada pengguna, selain pengawalseliaan penyedia produk kredit baharu seperti perkhidmatan 'Beli Sekarang Bayar Kemudian'," katanya

Sebelum ini, BH melaporkan semakin ramai anak muda berusia seawal 19 tahun dikesan menjadi 'hamba' hutang dengan kebanyakan mereka mula terbeban apabila melakukan pembiayaan motosikal melalui agensi kredit.

Perkara ini didedahkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) apabila ada belia yang baharu bekerja tampil membuat penstrukturan semula hutang akibat terbeban dengan masalah itu.

Susulan itu, terdapat cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan pengguna supaya syarat pinjaman dari pemberi kredit diketatkan.

Menerusi produk 'Beli Sekarang Bayar Kemudian', pengguna antaranya ditawarkan platform kredit secara online dengan pembayaran balik ansuran bulanan tanpa faedah serta had pinjaman.

BH difahamkan, platform bukan bank berkenaan dikatakan beroperasi di luar negara, juga tidak mensyaratkan peminjam mengemukakan penjamin seperti pinjaman menerusi bank.

Nor Rafidz berkata, bagi tujuan penggubalan undang-undang itu, kerjasama turut dijalinkan dengan beberapa kementerian antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau berkata, BNM sentiasa memantau dan memastikan institusi kewangan mengambil langkah bertanggungjawab ketika menawarkan perkhidmatan dan produk kewangan.

"Sebarang amalan pasaran yang tidak adil dan boleh menyebabkan kemudaratan besar kepada pengguna, pengendali boleh dikenakan tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan oleh BNM," katanya.

Program FEN PROAKTIF

Nor Rafidz yang juga Pengerusi Bersama Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) berkata, FEN sentiasa mengalu-alukan usaha memperkukuh perlindungan pengguna kredit serta usaha memperkasakan komuniti 'cerdik kewangan' dalam kalangan rakyat Malaysia.

FEN adalah platform antara agensi yang dipengerusikan bersama oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Nor Rafidz berkata, dalam menawarkan produk pembiayaan, semua institusi kewangan yang dikawal selia BNM dikehendaki mematuhi keperluan pembiayaan secara berhemat bagi memastikan peminjam mempunyai penampan kewangan mencukupi untuk perbelanjaan harian.

Beliau berkata, ia juga bagi melindungi pengguna daripada beban hutang berlebihan, sekali gus memerlukan institusi kewangan menjalankan penilaian kemampuan dan mematuhi nisbah khidmat hutang yang berhemat supaya peminjam mampu membayar balik pembiayaan sepanjang tempoh pembiayaan.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan pengurusan kewangan yang berhemat termasuk belia, FEN turut memperkenalkan modul pendidikan kewangan sebagai subjek elektif di beberapa institusi pengajian tinggi.

"Bagi melengkapkan lagi proses ini, program pendidikan kewangan secara dalam talian yang dikenali sebagai FEN PROAKTIF, turut direka khas untuk pelajar tahun akhir.

"Selain itu, melalui Bulan Literasi Kewangan 2023 (FLM2023) yang dianjurkan FEN, ia berjaya menjana lebih 6.3 juta interaksi selain menjelajah ke 71 lokasi di seluruh negara dan menyantuni lebih 31,000 rakyat, termasuk pelajar universiti," katanya

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url