Bank digital Islam pertama Malaysia AEON Bank dilancarkan

 


AEON Bank dilancarkan secara rasmi kepada awam hari ini, sekali gus menjadikannya bank digital Islam pertama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, berkata bank itu menyasarkan untuk menawarkan penyelesaian perbankan digital patuh syariah yang selamat, ringkas dan inklusif kepada semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata, sebagai permulaan, AEON Bank menawarkan perkhidmatan produk digital perbankan peribadi seperti Akaun Simpanan-i dan Savings Pot dengan ciri pengoptimuman yang boleh diperibadikan, pengurusan belanjawan dan banyak lagi ciri-ciri menarik pada masa akan datang.

Katanya, pelanggan yang mengaktifkan akaun mereka boleh terus mengakses Kad Debit-i AEON Bank x Visa maya mereka dan juga memohon Kad Debit-i fizikal.

"Pelancaran AEON Bank pada hari ini adalah pencapaian yang sangat bermakna untuk AEON Group di Malaysia, khususnya selepas 40 tahun kewujudannya di negara ini.

"Matlamat kami ialah untuk menawarkan penyelesaian perbankan digital patuh Syariah yang selamat, mudah dan inklusif kepada semua rakyat Malaysia," katanya pada pelancaran AEON Bank kepada awam

Hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, Pengarah Urusan AEON Co. (M) Bhd, Naoya Okada dan Pengerusi AEON Financial Service Co Ltd Japan, Shunsuke Shirakawa.

Mengulas lanjut, Raja Teh Maimunah berkata, dari semasa ke semasa, bank digital Islam itu akan terus memperkembangkan produk dan perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan termasuklah bagi usahawan perniagaan mikro.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 2.5 juta pelanggan AEON Group ketika ini akan menjadi pelanggan AEON Bank.

"AEON Bank komited untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang boleh diakses oleh semua, termasuk untuk komuniti yang kurang mendapat liputan perbankan serta mereka yang sebelum ini sukar untuk mendapat perkhidmatan perbankan," katanya.

Eksklusif sepanjang tempoh kempen pelancaran (sehingga 31 Ogos 2024), pelanggan AEON Bank yang mengaktifkan akaun mereka layak menikmati bonus pendaftaran 3,000 mata ganjaran AEON dan tiga kali ganda mata ganjaran AEON menerusi transaksi yang menggunakan Kad Debit-i AEON Bank x Visa, di samping kadar keuntungan 3.88 peratus setiap tahun.

Pelanggan yang mengaktifkan akaun mereka juga boleh terus mengakses Kad Debit-i AEON Bank x Visa maya mereka dan juga memohon Kad Debit-i fizikal.



Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url