Nabil Mentor meninggal dunia


 

Penyanyi Nabil Mentor yang juga naib juara program realiti, Mentor musim pertama dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bukit Indah, Ampang, dekat sini, pagi tadi.

Berita pemergian Nabil atau nama lengkap, Nabil Zafril Zamanhuri disahkan oleh bapanya, Zamanhuri Amarudin.

Bagaimanapun, Zamanhuri tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai masa dan punca kematian kerana masih di balai polis untuk membuat laporan.

"Anak saya, Nabil meninggal dunia pagi tadi. Sekarang, saya masih berada di balai polis untuk buat laporan kematiannya.

"Arwah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bukit Indah Ampang. Saya juga sedang tunggu pengesahan masa arwah meninggal dunia," katanya.

Masa dan lokasi pengebumian Allahyarham Nabil juga dilaporkan masih dalam perbincangan keluarga.

Nabil yang juga anak didik kepada Datuk Nora Ariffin menerusi Mentor musim pertama berjaya meraih gelaran naib juara.

Antara lagu popular yang pernah dinyanyikan seperti Kenangan Lama, Hati Ini, Selangkah dan Beku.

Selain menyanyi, arwah juga bergiat aktif dalam lakonan filem dan drama seperti Terbaik dari Langit, Aladdin, Ijab Kabut, BoBoiBoy Movie 2 dan Kamelia Katrina.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Adelia Citra Hapsari dan dua cahaya mata perempuan.

Menurut ayah Nabil, "Saya dimaklumkan arwah mendapat serangan jantung dan ketika melihat jenazahnya di rumah, memang kuku-kuku pun biru. Jadi, memang jantunglah," katanya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url