Harga diesel RM3.35 seliter mulai tengah malam 10 Jun 2024
Harga diesel tanpa subsidi akan dijual pada kadar RM3.35 seliter oleh semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung, bermula jam 12 tengah malam ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata harga diesel tanpa subsidi ini sama ada berubah atau tidak, akan diumumkan setiap Rabu seperti amalan semasa.
Beliau berkata, serentak penyasaran subsidi diesel itu juga, seramai 30,000 kumpulan awal pemilik kenderaan diesel persendirian akan menerima bantuan bulanan RM200 menerusi program BUDI MADANI mulai tengah malam ini.
"Dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi bersasar ini, kerajaan menjangkakan pengurangan serta-merta kerugian daripada aktiviti ketirisan yang boleh membawa kepada penjimatan sebanyak RM4 billion setahun.
"Penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah penting ini akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan ke dalam sektor kritikal lain yang secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat, termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan untuk anak-anak kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Penyasaran Subsidi Diesel di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Ketika menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan pada 20 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Jemaah Menteri bersetuju menyelaraskan pemberian subsidi ke atas diesel yang berupaya menjimatkan wang kerajaan RM4 bilion setahun.
Susulan pengumuman itu, pada 27 Mei, Kementerian Kewangan mengumumkan pelaksanaan program BUDI MADANI, membabitkan pemberian bantuan RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah memaklumkan, ketika ini harga diesel di Malaysia, menjadi antara yang terendah di dunia berikutan jumlah subsidi besar yang diberikan kerajaan, selain dijual pada empat harga berbeza mengikut subsidi.
Harga yang termurah adalah bagi nelayan iaitu RM1.65 seliter, pengangkutan awam darat (RM1.88 seliter), kenderaan komersial dan persendirian (RM2.15 seliter), manakala harga pasaran tanpa subsidi untuk sektor komersial pernah mencecah RM3.60 pada awal tahun ini.
Amir Hamzah berkata, jumlah diesel bersubsidi meningkat mendadak dari 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter pada 2023 walaupun bilangan kenderaan diesel tidak bertambah dengan ketara.
"Ini menunjukkan subsidi yang diberi tiris dan tidak dapat dimanfaat oleh golongan sasaran. Subsidi diesel meningkat 10 kali ganda dari RM1.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM14.3 bilion pada 2023.
"Akibatnya, kerajaan kerugian berbilion ringgit sehingga mengecilkan keupayaan kita untuk membela kepentingan rakyat.
"Justeru, melalui penyasaran subsidi, kegiatan penyeludupan dan penyelewengan tidak lagi menjadi suatu aktiviti yang lumayan dan secara logiknya dapat dikurangkan secara drastik," katanya.
Amir Hamzah menyifatkan keputusan mengenai penyasaran subsidi diesel bukan satu langkah mudah untuk diambil dan kerajaan tidak terburu-buru, malah memberi perhatian khusus untuk mengkaji serta memastikan mekanisme terbaik bagi melindungi sektor dan individu yang layak dibantu supaya kegiatan ekonomi tidak terganggu.
Beliau berkata, mekanisme penyasaran subsidi diesel dilaksanakan di bawah seliaan Kementerian Perdangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), membabitkan Sistem Kawalan Diesel (SKDS) khusus untuk sektor pengangkutan dan logistik.
SKDS 1.0 adalah untuk pengangkutan awam, bas sekolah, bas henti-henti, bas ekspress, ambulans, bomba dan van jenazah, manakala SKDS 2.0 untuk pengangkutan logistik, terutama bagi barangan keperluan harian.
"Esok, seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan BUDI MADANI yang pertama.
"Saya ingin tegaskan, bantuan ini tidak ada tarikh tutup. Justeru, saya menyeru kepada mereka yang sememangnya berkelayakan, sama ada bagi BUDI Individu atau BUDI Agri-Komoditi untuk memohon bantuan ini," katanya.
Sumber : Berita Harian