Siasatan ibu bapa Zayn Rayyan ikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan


 

Siasatan ke atas suami isteri yang juga ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang ditemui dibunuh di Damansara Damai di sini, tahun lalu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

-ADVERTISEMENT-

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau yang mengesahkan tangkapan itu berkata, kedua-dua mereka ditahan berdasarkan hasil maklumat risikan dan siasatan dari hari pertama kejadian.

"Tangkapan berpandukan risikan sejak hari kejadian sehingga sekarang. Tangkapan ini bagi membantu siasatan.

"Mereka akan direman pagi ini. Siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh)," katanya.

Terdahulu, BH melaporkan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai di sini, pada Disember tahun lalu, akan direman pagi ini.

Difahamkan, pasangan berusia 28 tahun terbabit ditahan di kediaman keluarganya di Puncak Alam, Selangor kira-kira jam 11 pagi semalam.

Lelaki dan wanita terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

Pada 6 Disember lalu, kanak-kanak malang berusia enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di kawasan saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai oleh orang awam yang menyertai operasi mencari mangsa.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url