Keldai akaun boleh dipenjara hingga 7 tahun, denda RM100,000


Kerajaan hari ini membentangkan pindaan undang-undang bagi membanteras jenayah penipuan kewangan dalam talian, termasuk keldai akaun yang membimbangkan dalam negara.

Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina berkata, bacaan kedua RUU berkenaan akan dibuat pada mesyuarat kali ini.

Pindaan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) bertujuan memasukkan beberapa seksyen baharu bagi mengadakan peruntukan kesalahan dan penalti bagi kesalahan berkaitan instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan.

Di bawah Seksyen 424a, peruntukan kesalahan dan penalti diadakan bagi pemilikan atau kawalan terhadap mana-mana instrumen pembayaran orang lain atau mana-mana akaun orang lain di institusi kewangan tanpa kuasa yang sah atau maksud yang sah.

Seksyen 424b, bagi pemberian pemilikan atau kawalan terhadap instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan kepada mana-mana orang lain tanpa kuasa yang sah atau maksud yang sah.

Di bawah seksyen ini, sesiapa saja, secara langsung atau tidak langsung, tanpa kuasa yang sah atau tujuan yang sah, memberikan pemilikan atau kawalan ke atas pembayarannya instrumen atau akaunnya di institusi kewangan kepada mana-mana orang lain, boleh dihukum antara RM10,000 dan RM100,000 atau penjara antara satu hingga tujuh tahun, atau kedua-keduanya.

Subseksyen 424c(1), bagi seseorang yang terbabit dalam mana-mana transaksi menggunakan instrumen pembayarannya atau akaunnya di institusi kewangan tanpa maksud yang sah.

Subseksyen 424c(2), bagi seseorang yang terbabit dalam mana-mana transaksi menggunakan mana-mana instrumen pembayaran orang lain atau mana-mana akaun orang lain di institusi kewangan tanpa kuasa yang sah atau maksud yang sah.

Selain itu, Seksyen 424d, bertujuan mengadakan peruntukan bagi takrif "institusi kewangan" dan "instrumen pembayaran" dalam konteks seksyen baharu 424a, 424b dan 424c yang dicadangkan.

Azalina sebelum ini berkata, pindaan itu dibuat berikutan undang-undang sedia ada tidak memperuntukkan sebarang kesalahan kepada pemilik akaun bank, yang membenarkan akaun mereka digunakan orang lain bagi tujuan tidak sah dan menyukarkan polis untuk menyekat pergerakan wang mangsa yang disalurkan kepada akaun keldai.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url