Che Sayang Kitchen diangkat Creator Of The Year 2024
Pempengaruh media sosial dan pencipta kandungan masakan, Che Sayang Kitchen diangkat sebagai Creator Of The Year pada TikTok Awards Malaysia 2024 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam tadi.
Che Sayang menewaskan lima pencabar lain iaitu Ryan Bakery, Sofyank, Shi Qi, Daddy Hood dan Sofea Shra.
Che Sayang atau namanya, Qayyum Halid berkata, kejayaannya menerusi kategori pilihan ramai atau pilihan popular itu adalah hasil sokongan keluarga dan kerja kerasnya.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi, rasa mustahil nak capai, tapi hasil kerja keras dua kali ganda, ini semua berjaya direaliasikan.
"Terima kasih kepada keluarga, menyokong yang undi setiap hari. Kalau boleh bermimpi dan bekerja keras, pasti mimpi dapat digapai," katanya.
Celebrity Of The Year dimenangi oleh pelakon dan penyanyi sensasi, Bella Astillah dengan mengetepikan Nabila Razali, Hairul Azreen, Amsyar Lee, Siti Khadijah Halim dan Meerqeen.
Bella berkata, dia tidak menjangka kemenangan dan berterima kasih kepada pengundi dan peminat atas sokongan.
"Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada TikTok Awards Malaysia 2024, saya tidak terfikir boleh menang. Terima kasih kepada pengikut yang undi saya.
"Sebenarnya, saya mula sertai TikTok pada 2018 dan merasakan platform ini membuka banyak peluang. Semoga dapat berikan yang terbaik menerusi perkongsian," katanya.
Sementara itu, Brader Wheel Chair dan Lokohopunohgroup meraih trofi anugerah istimewa, Changemaker Of The Year.
Anugerah istimewa itu bertujuan mengetengahkan dan memberi sokongan kepada individu yang berani mencipta impian.
Melalui kategori Changemaker Of The Year, TikTok mahu mengiktiraf pencipta yang berjaya memberikan impak besar dan melangkaui batasan positif melalui kandungan dicipta sama ada dalam memberikan inspirasi kepada perubahan positif, memberikan kesedaran mengenai isu penting atau sekadar memberi inspirasi kepada ribuan lagi penonton.
Bagi kategori pilihan popular, TikTok Live Creator of the Year dimenangi oleh Acap S atau Asraf Jaafar, Video Of The Year (Agy Official), TikTok Shop Creator of the Year (Pinn Yang).
Bagi kategori pilihan juri, Entertainment Creator Of The Year pula dimenangi oleh Kanafly, Animation Creator Of The Year (Yimotapir), Gaming Creator Of The Year (Kingshahx), Sports Creator Of The Year (Amaranas), Food Creator Of The Year (Tang Guo Shop), Education Creator Of The Year (Aminxabid) dan Beauty and Fashion Of The Year (Aishah Rahim).
Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
TikTok Awards Malaysia 2024 menampilkan Che Puan Sarimah Ibrahim dan Janna Nick sebagai pengacara utama, manakala Ain Edruce dan Ceddy Ang menggalas tanggungjawab sebagai hos karpet merah.
Acara turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular seperti Aina Abdul, Naim Daniel, Aisha Retno, Sarah Suhairi, Amir Jahari, Zubir Khan, Ezra Kairo, Alfie Zumi, Muahx, Faizal Tahir, Wani Kayrie dan Afieq Shazwan.
TikTok Awards Malaysia 2024, acara kedua dijayakan TV3 dan TikTok itu menjadi tapak lonjakan untuk meraikan aspirasi baharu, selain membuka peluang kepada pencipta kandungan membuktikan impian mereka mampu menjadi kenyataan.
TikTok Awards diperkenalkan tahun lalu itu juga memberikan ruang dan laluan besar kepada pemenang dan calon yang tersenarai untuk mengorak langkah dalam penciptaan kandungan serta kerjaya profesional.
Sumber : Berita Harian