Serbuan di rumah amal GISB

 


Siasatan polis mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan 'Global Ikhwan Service and Business Holding' (GISBH) adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Dalam Op Global dijalankan antara jam 6-11 pagi hari ini, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Mengulas cara operasi kumpulan itu, selain diliwat dan meliwat, Razarudin berkata, mangsa yang tidak sihat juga tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan mereka menjadi kritikal.

"Mangsa kanak-kanak dan sentimen agama digunakan untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan.

"Menggunakan objek yang dipanaskan bagi mencederakan mangsa sebagai tanda menghukum atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu menyentuh tubuh mangsa dengan alasan melakukan rawatan secara perubatan Islam," katanya dalam sidang media 'Op Global' di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Beliau berkata, pelaksanaan 'Op Global' membabitkan kekuatan 705 pegawai dan anggota polis.

Operasi itu turut dibantu 287 individu iaitu rakan strategik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kimia Malaysia bagi membanteras kegiatan jenayah itu.

Beliau berkata, hala tujuan siasatan 'OP Global' setakat ini menjurus kepada kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792]; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa.

"Dalam tempoh 2011 hingga 7 September lalu, polis telah menerima 41 laporan polis terhadap kumpulan perniagaan itu termasuk 19 di Selangor, Negeri Sembilan (13), Perlis (1), Kedah (3),Pulau Pinang (2), Kuala Lumpur (1), Melaka (1), Johor (5),Pahang (2), Terengganu (1) dan Sabah (1)," katanya.

Tiada pembabitan ahli politik

Sementara itu, Razarudin berkata, berdasarkan siasatan awal polis mendapati setakat ini tiada ahli politik terbabit dalam kegiatan kumpulan itu.

Dalam operasi Op Global Razarudin berkata, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Menurutnya, individu ditahan terdiri 66 lelaki dan 105 perempuan berusia 17 hingga 64 tahun.

Mangsa diselamatkan akan disaring kesihatan dan dokumentasi

Dalam pada itu, mengulas mengenai kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan, Razarudin berkata, mereka menjalani saringan awal pemeriksaan kesihatan di fasilti disediakan sebelum proses dokumentasi akan dilaksanakan di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur.

"Proses ini dijangka mengambil masa 14 hari, namun tertakluk kepada keperluan lain," katanya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url