SPNB bina 68,803 unit Rumah Mesra Rakyat sejak 2002

 


Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) telah membina 68,803 Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara sejak program itu diperkenalkan pada 2002.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata daripada jumlah itu, 66,830 unit siap dibina setakat 31 Ogos 2024, manakala 1,973 unit lagi sedang dalam pembinaan.

"Pembiayaan RMR ini berjaya membantu golongan sasar iaitu yang memiliki tanah untuk membangun sebuah rumah kediaman yang sempurna dan selesa," katanya pada sidang media selepas Program Tinjauan Mesra dan Perasmian RMR di Kampung Tengah, Kluang, Johor.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, penerima program RMR berkenaan hanya perlu membayar RM55,000 atau dengan RM300 sebulan tanpa faedah selama 16 tahun.

"Rumah ini menepati ciri-ciri Islamik dengan pintu dibuka tidak menghadap ruang tamu selain kedudukan tandas tidak menghadap arah kiblat," katanya sambil menambah unit RMR itu berkeluasan 750 kaki persegi melibatkan kos keseluruhan bernilai RM75,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 ditanggung kerajaan.

Sumber : BERNAMA

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url