Bukit Aman beku 96 akaun GISBH bernilai RM581,000

 


Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan 96 akaun milik syarikat terlibat eksploitasi kanak-kanak, Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dibekukan dianggarkan bernilai lebih setengah juta ringgit.

Razarudin berkata kesemua akaun bank berkenaan dibekukan untuk siasatan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).

"Sehingga kini sebanyak 96 akaun melibatkan GISBH yang berjumlah RM581,552.31 telah dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

"Sebanyak empat akaun telah ditutup dan lapan kenderaan telah dikeluarkan perintah pembekuan," katanya dalam sidang media di PULAPOL Kuala Lumpur.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain; Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan JSJ Bukit Aman, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dan Timbalan Pengarah R/O JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus.

Turut hadir, Pakar Perunding Kecemasan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Noorzilawati Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimi; Pengarah Bahagian Institut Pendidikan Guru Malaysia KPM, Dr Mohd Azam Ahmad serta Pengarah Bahagian Perancangan dan Pengurusan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Wan Noraidah Wan Mohd Zain.

Dalam Op Global dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi, pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menahan 171 individu terdiri daripada kakitangan, pengurus dan ustaz di rumah amal berkenaan.

Semalam bercakap kepada BH, Razarudin dilaporkan berkata pihaknya percaya lebih banyak penderaan yang berlaku terhadap penghuni rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH dapat dibongkar dalam masa terdekat.

Menurutnya beberapa rakaman video berkaitan penderaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang menghuni di rumah-rumah amal berkenaan kini dalam penelitian pihak polis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dua rakaman video yang tular menunjukkan penderaan dialami dua kanak-kanak dipercayai penghuni rumah amal berkenaan.

Sumber : BERITA HARIAN

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url