Syamsul Yusof kembali ke pangkuan keluarga
Ibu kepada penerbit dan pengarah, Syamsul Yusof, Datin Patimah Ismail tampil mengejutkan ramai selepas berkongsi fotonya bersama anaknya itu, sebentar tadi.
Momen itu telah dikongsikan oleh isteri kepada penerbit, Datuk Yusof Haslam itu menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.
Dalam perkongsian tersebut, Patimah turut menggunakan muzik latar belakang yang menggambarkan dirinya bersyukur anaknya itu sudah kembali ke pangkuan mereka.
Sementara itu, Patimah juga berkongsi foto mesra anaknya itu bersama pelakon, Puteri Sarah Liyana dan anak kedua mereka, Sumayyah.
Sebelum ini, Yusof pernah berkongsi bahawa pengarah filem Mat Kilau itu sudah jarang pulang ke rumah dan berhubung dengan mereka meskipun pada musim perayaan sejak isu rumah tangganya bersama bekas isterinya, Puteri Sarah.
Namun, Yusof menyatakan dia sudah berlapang dada dengan tindakan anaknya itu sekiranya enggan pulang ke pangkuan mereka.
Untuk rekod, Syamsul dan Sarah pernah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5.
Namun, mereka disahkan bercerai dengan talak satu pada 18 April lalu susulan pergolakan rumah tangga gara-gara orang ketiga.
Pada Januari tahun lalu, Syamsul mengumumkan dia sudah berkahwin dengan Ira Kazar di Selatan Thailand.
Bagaimanapun perkahwinan mereka hanya bertahan hampir dua tahun selepas pengarah itu menceraikan Ira dengan talak satu, pada 5 September lalu.
Sumber : Berita Harian