Pasaran EV Malaysia perlahan, pengguna masih ragu kos, infrastruktur - EY

 


Permintaan global terhadap kenderaan elektrik (EV) menunjukkan penurunan, menurut laporan tahunan EY Global Mobility Consumer Index kelima.

Berdasarkan tinjauan 19,000 responden dari 28 negara, Malaysia kini berada di persimpangan penting dalam peralihan ke arah penggunaan EV.

Pasaran automotif Malaysia, yang selama ini didominasi oleh kenderaan berasaskan petrol, kini menyaksikan perubahan minat secara beransur-ansur ke arah EV, dengan 25 peratus rakyat Malaysia berminat untuk membeli EV.

Minat ini didorong oleh peningkatan kos bahan api dan kesedaran terhadap alam sekitar.

Bagaimanapun, Malaysia menghadapi cabaran besar dalam usaha membangunkan ekosistem EV yang kukuh serta menarik minat pengguna arus perdana.

Pengguna awal di Malaysia yang telah membeli EV menyatakan faktor impak alam sekitar (53 peratus), kenaikan kos bahan api (33 peratus), dan faktor gaya hidup (27 peratus) sebagai sebab utama pemilikan EV.

Namun, hampir 40 peratus rakyat Malaysia masih memilih untuk membeli kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), diikuti dengan kenderaan hibrid (20 peratus).

Untuk membuka fasa pertumbuhan seterusnya bagi EV sepenuhnya, jenama kereta perlu menarik minat pengguna yang lebih muda, berorientasikan kos, dan didorong oleh faktor peningkatan kos bahan api (43 peratus), impak alam sekitar (35 peratus), serta kepelbagaian model EV yang ditawarkan (27 peratus).

Walaupun kerajaan telah memperkenalkan insentif untuk mengembangkan pasaran EV dengan sasaran 15 peratus daripada jualan kereta baharu menjelang 2030, pengguna Malaysia masih berhati-hati.

Mereka mempertimbangkan nilai jualan semula EV (57 peratus), akses kepada tenaga boleh diperbaharui untuk mengecas EV (51 peratus), dan kos penyelenggaraan bateri yang berterusan (41 peratus).

Menurut Ketua Pengalaman Pelanggan Tenaga EY APAC, Mark Bennett: "Kenderaan elektrik adalah masa depan mobiliti, namun hasil dapatan ini menunjukkan masih banyak yang perlu dilakukan untuk menangani isu-isu berkaitan infrastruktur, jarak perjalanan, dan kos penggantian bateri. Sebilangan besar pengguna masih skeptikal terhadap EV, terutamanya mengenai infrastruktur dan kos pemilikan. Perlu ada usaha berterusan dari seluruh ekosistem untuk menangani kebimbangan ini, atau kita berisiko untuk menggagalkan minat pengguna terhadap EV pada masa yang sepatutnya mereka semakin teruja."

Laporan EY Global Mobility Consumer Index turut menekankan kepentingan infrastruktur pengecasan dalam membina keyakinan pengguna untuk beralih kepada EV, dengan 27 peratus bakal pembeli menyatakan kekurangan tempat pengecasan sebagai halangan. Kebimbangan lain termasuk sukar mencari pengecas (61 peratus), tempoh menunggu lama (53 peratus), dan kos pengecasan menggunakan infrastruktur awam (38 peratus).

Kebimbangan ini lebih ketara dalam kalangan generasi 'boomer' dan 'Gen X'.

Akibatnya, ramai pemilik EV memilih untuk mengecas di rumah (68 peratus), dan bagi mereka yang mampu berbuat demikian, pengalaman lebih positif (77 peratus kepuasan) dengan kelajuan pengecasan (79 peratus), kos pemasangan (72 peratus), serta insentif dan rebat (55 peratus) menjadi faktor penting.

Jenama EV China Masih Perlu Meraiah Kepercayaan Pengguna

Pengeluar EV China kini semakin aktif di Malaysia dengan menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna, di mana dua jenama China berada dalam senarai 10 pendaftaran kereta baharu paling popular setakat Ogos 2024. Ini kali pertama jenama EV tersenarai dalam senarai tersebut. Laporan EY Global Mobility Consumer Index juga mendedahkan perubahan sikap generasi di Malaysia.

Generasi boomer dan Gen X meletakkan nilai untuk wang sebagai sebab utama mempertimbangkan jenama EV China (68 peratus), manakala generasi Gen Z masih mempunyai kebimbangan mengenai kepercayaan terhadap jenama (39 peratus) dan lebih memilih jenama pengeluar yang lebih kukuh (39 peratus) sebagai alasan untuk tidak mempertimbangkan jenama EV China buat masa ini.

Mark Bennett menambah: "Walaupun China mendahului dunia dalam pengeluaran, permintaan, dan infrastruktur EV, persepsi terhadap jenama masih menjadi cabaran. Keupayaan dan teknologi China dalam industri EV mungkin menjadi penanda aras global, namun bagi ramai pembeli EV antarabangsa, keputusan pembelian turut dipengaruhi oleh jenama, perkhidmatan, kualiti, dan nilai jualan semula."


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url