Pentaksiran Berasaskan Sekolah lebih adil nilai pencapaian murid

 


WUJUD cadangan mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Susulan itu, BH mengadakan tinjauan di Facebook dan mendapati ramai mengundi bersetuju, iaitu 91 peratus.

Bagaimanapun, penggubalan atau perubahan polisi pendidikan tidak dibuat semata-mata berdasarkan pungutan suara atau majoriti masyarakat, sebaliknya perlu berdasarkan kajian, data dan perancangan jangka panjang demi masa depan pendidikan negara.

Berdasarkan banyak kajian dalam dan luar negara, langkah mengembalikan UPSR dan PT3 tidak wajar kerana penilaian di peringkat sekolah rendah serta menengah tidak seharusnya dianggap sebagai peperiksaan high-stake hingga mengorbankan nilai pendidikan.

UPSR dirancang untuk menilai kemahiran asas 3M, iaitu membaca, mengira dan menulis. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menekankan kemahiran ini. Bagi memastikan pencapaiannya, penilaian seharusnya dilakukan secara berterusan, setiap minggu atau bulan, bukan setiap tahun atau setiap enam tahun seperti UPSR.

Keputusan UPSR sering kali bersifat artifisial dan gagal mencerminkan prestasi keseluruhan ekosistem pendidikan. Apabila dianggap peperiksaan berkepentingan tinggi, ibu bapa berasa terpaksa mendapatkan bantuan luar untuk meningkatkan keputusan anak mereka seperti mendaftar di kelas tuisyen atau program latih tubi.

Namun, tidak semua ibu bapa mampu menanggung kos tambahan ini. Akibatnya, kanak-kanak daripada latar belakang kurang mampu akan terus ketinggalan.

Oleh itu, UPSR tidak mengukur pencapaian sebenar dalam sistem pendidikan kita kerana ia sering kali mencerminkan prestasi pelajar turut mendapat sokongan luar, bukan hasil sistem pendidikan kebangsaan itu sendiri.

Pentaksiran holistik, menyeluruh dalam PBS

Sekolah sebelum ini sering berbangga memperagakan keputusan bilangan A, padahal keputusan itu bukan hasil sistem persekolahan kita sepenuhnya.

Pentaksiran sepatutnya bukan sekadar untuk mengenal pasti pencapaian akademik anak, bahkan bersifat pentaksiran proses pembelajaran (assessment of the learning process) dan pentaksiran untuk meningkatkan pembelajaran (assessment for learning).

Ketiga-tiga jenis penilaian ini dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang sedang dilaksanakan sekarang.

PBS membolehkan sekolah mengenal pasti kelemahan dan cabaran pembelajaran setiap pelajar, memastikan program intervensi pemulihan disasarkan dilaksanakan seperti diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini. Selain itu, ia membantu sekolah menilai dan meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Melalui PBS, fokus penilaian kini beralih daripada berorientasikan peperiksaan kepada berorientasikan pembangunan. PBS mewakili pentaksiran pintar dicirikan fleksibiliti dan tumpuan kepada keperluan individu.

Penilaian sumatif seperti UPSR tidak memberikan penilaian adil bagi pelajar dan bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menekankan pentingnya pendidikan dalam membangunkan potensi individu secara menyeluruh serta bersepadu.

UNESCO turut tekankan kemenjadian murid

Menariknya, penekanan FPK terhadap pembangunan holistik murid hampir serupa dengan dokumen Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) 2020, Learning to Become with the World: Education for Future Survival.

Dokumen ini menyatakan matlamat utama pendidikan adalah 'kemenjadian' (Learning To Become) dan menekankan pendidikan perlu berorientasikan pembangunan, termasuk dalam kaedah penilaian.

PBS meraikan kepelbagaian potensi, bakat dan kemampuan pelajar. Contohnya, pelajar mempunyai kemahiran kreatif kuat boleh digalakkan menyertai pertandingan inovasi, manakala mereka berbakat dalam seni dapat diketengahkan dalam pertandingan seni.

PBS mempersiapkan pelajar untuk masa depan lebih terarah melalui penilaian holistik tidak terikat kepada skema jawapan ketat yang mendorong kreativiti, inovasi dan kesedaran diri dalam kalangan pelajar.

Walaupun pelaksanaan PBS mempunyai cabaran, adalah penting untuk mengenal pasti isu ini dan berusaha menyelesaikannya. Antara cabaran utama adalah merangka dan melaksanakan strategi membolehkan guru menggabungkan penilaian untuk pembelajaran dengan berkesan.

Ini memerlukan pelajar mengambil peranan aktif dalam perjalanan pembelajaran mereka, menjadikan penilaian lebih hidup dan pembelajaran lebih dinamik.

Setakat ini, pelbagai inisiatif diambil untuk 'menormakan' dan memastikan penerimaan PBS dalam kalangan semua pihak, walaupun terdapat pandangan berbeza. Usaha berterusan adalah penting untuk memastikan PBS mencapai matlamat dihasratkan.

- Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url