Mangsa banjir hilang IC, surat beranak dikecualikan denda
Mangsa banjir yang kehilangan dokumen termasuk kad pengenalan dan surat beranak dikecualikan denda ketika memohon gantian.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Mohamad Nasir Kareem, berkata dua pasukan Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dianggotai 12 pegawai dan kakitangan akan digerakkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) bagi membantu mangsa.
Katanya, pasukan itu akan membantu mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri untuk membuat laporan dan permohonan gantian dokumen baharu di PPS.
"Pegawai dan kakitangan JPN negeri sudah diminta bersiap siaga untuk digerakkan ke PPS dengan membawa peralatan lengkap untuk menyediakan permohonan dokumen gantian.
"Walaupun pihak berkuasa sentiasa mengingatkan orang ramai agar menyimpan dokumen di tempat yang selamat, tetapi kehilangan dokumen berlaku di luar jangka," katanya kepada media, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohamad Nasir merasmikan Program Mekar Komuniti Monsun JPN negeri 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman
Mengulas lanjut, Mohamad Nasir berkata, kebanyakan mangsa banjir mengakui sudah menyimpan dokumen penting termasuk kad pengenalan dan sijil kelahiran di tempat yang selamat.
"Antara alasan diberikan mangsa banjir adalah gagal menyelamatkan dokumen disebabkan air naik melebihi paras biasa.
"Kita faham masalah dihadapi mangsa banjir dan kita komited membantu mereka untuk mendapatkan dokumen gantian," katanya.
Mohamad Nasir mengingatkan mangsa supaya memulangkan dokumen yang dijumpai di kaunter JPN kerana dokumen itu tidak sah digunakan.
Sumber : Berita Harian