ETS Segamat beroperasi
Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Segamat yang mula beroperasi hari ini, dijangka merancakkan lagi aktiviti ekonomi di bandar itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata perkhidmatan tren ETS yang dilanjutkan itu adalah laluan sedia ada iaitu sektor Butterworth – Gemas – Butterworth dan Padang Besar – Gemas – Padang Besar.
Lanjutan itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluaskan rangkaian rel negara.
"Ia mencerminkan komitmen kami dalam meningkatkan pengangkutan awam dan menyediakan pilihan perjalanan yang lebih lestari.
Perkhidmatan EG9321 dari Stesen Butterworth ke Stesen Segamat juga berlepas pada jam 7.50 pagi dan akan tiba pada jam 2.57 petang ini.
Tambahnya, aktiviti promosi sudah bermula dengan mengunjungi pejabat-pejabat kerajaan di sekitar Segamat, pasaraya, masjid serta bazar Ramadan bagi bertemu orang ramai dalam menguar-uarkan lanjutan perkhidmatan ETS ke Segamat.
Katanya, KTMB turut menawarkan promosi khas kepada para pengunjung yang hadir ke Stesen Segamat iaitu diskaun RM10 untuk perkhidmatan EG9321, EG9322, EG9420 dan EG9425 tertakluk kepada terma dan syarat.
"Orang ramai dialu-alukan untuk menaiki perkhidmatan ETS dari Stesen Segamat bagi merasai pengalaman menaiki tren ini dan rancang perjalanan serta membuat pembelian tiket lebih awal.
"Tiket-tiket boleh didapati melalui aplikasi KITS, laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my, atau di mesin kios KTMB bagi kemudahan dan keselesaan pelanggan," katanya.