Pengecualian cukai jalan setahun tukar kereta lama kepada PROTON

 


Kerajaan menawarkan insentif pengecualian cukai jalan selama setahun kepada individu yang mendaftar di bawah Program PROTON Xchange.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan berperanan menyokong pelaksanaan program ini bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dan menggalakkan mobiliti lebih hijau.

"Apabila program ini dilancarkan, orang ramai akan mula mendaftar dengan PROTON.

"Mereka memerlukan masa untuk membawa atau membatalkan pendaftaran kenderaan lama sebelum mendapatkan yang baharu.

"Oleh itu, saya menggesa pihak kementerian dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan mekanisme ini bersama PROTON," katanya kepada media selepas pelancaran Program PROTON Xchange.

Loke berkata, beliau difahamkan kempen itu akan berlangsung sehingga akhir tahun ini dan jika menunjukkan prestasi memberangsangkan, perbincangan akan diadakan bagi melancarkan versi program yang lebih besar dengan insentif tambahan.

Beliau menambah, inisiatif itu sejajar dengan matlamat Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan bilangan kenderaan lama di jalan raya.

"Tiada had ditetapkan bagi insentif berkenaan kerana ia berdasarkan konsep satu lawan satu. Jika pemilik mempunyai lima kenderaan lama, mereka juga layak membeli lima kenderaan baharu menerusi program ini.

"Malah, pengecualian cukai jalan turut diberikan tanpa had, walaupun melibatkan kenderaan dengan kadar cukai lebih tinggi, asalkan ia dibuat di bawah program pertukaran ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar, berkata syarikat memperuntukkan sebanyak RM4.8 juta dan menawarkan sokongan dagangan lebihan bernilai RM2,000 bagi setiap pendaftaran kenderaan PROTON baharu, termasuk model kereta elektrik (EV), Proton e.MAS 7.

"Progtam ini bertujuan untuk menggalakkan pemilik kereta lama yang dianggap tidak lagi selamat digunakan di jalan raya untuk menukarnya dengan model baharu PROTON.

"Program ini akan dijalankan oleh Car Medic Sdn Bhd, sebuah fasiliti rawatan automotif yang diluluskan (AATF) dan terbuka kepada pemilik semua jenis kereta, tidak kira jenama," katanya.

Beliau berkata, Program PROTON Xchange dirangka bagi mencapai matlamat meningkatkan keselamatan jalan raya serta menggalakkan mobiliti hijau.

Katanya, PROTON bersama Car Medic akan menyediakan penyelesaian menyeluruh yang menawarkan insentif kepada peserta dan menjamin pelupusan kenderaan lama secara selamat.

"Kenderaan mestilah berusia 15 tahun atau lebih dan dalam keadaan tidak selamat digunakan. Tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan seperti bukti pemilikan, mana-mana kereta sedan, kenderaan pelbagai guna (MPV), van, 4x4, lori serta bas yang memenuhi syarat tersebut layak untuk menyertai program ini,: katanya.

Beliau berkata, bagi model baru PROTON atau Proton e.MAS mestilah didaftarkan sebelum akhir tahun untuk layak mendapat insentif dagangan lebihan.

"Pemilik kenderaan perlu menyediakan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bersama borang JPJK1KD bagi kenderaan baru sebagai bukti bahawa kenderaan lama mereka telah dibatalkan daripada pendaftaran oleh JPJ serta Sijil Pemusnahan (COD) yang mereka peroleh daripada Car Medic," katanya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url