Sistem PADU integrasi data kemas kini 30.4 juta profil setakat Jun 2025 - Kementerian Ekonomi
Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah mengintegrasi data daripada 204 agensi bagi mengemas kini 30.4 juta profil individu warganegara dan pemastautin tetap setakat Jun 2025.
Kementerian Ekonomi menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Dewan Rakyat memaklumkan penggunaan data PADU akan membolehkan kerajaan mengenal pasti kumpulan sasar bagi program intervensi termasuk penyaluran subsidi.
"Secara prinsip, kerajaan telah memaklumkan cadangan peralihan kaedah pengenalpastian kumpulan sasar daripada pengelasan kumpulan pendapatan isi rumah B40, M40 dan T20 kepada pendapatan boleh guna bersih (NDI).
"Ia adalah pengukuran pendapatan isi rumah berasaskan perbezaan antara pendapatan boleh guna dan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW), merujuk kepada jumlah perbelanjaan bulanan yang diperlukan oleh isi rumah/individu untuk mencapai kehidupan wajar," katanya.
Sumber - Kosmo!


