Inkues Zara Qairina: Ada pelajar buat amalan 'barcode' - toreh lengan dengan pisau: Saksi

 


Saksi kanak-kanak ke-13 inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa dia melihat ada pelajar membuat amalan 'barcode' di asrama.

Peguam mewakili ibu arwah diketuai Shahlan Jufri, berkata saksi ke-22 inkues itu turut mengaku pernah melakukan amalan itu, iaitu menunjukkan luka di tangan yang dibuat dengan menoreh di lengan menggunakan 'cutter'.

Katanya, saksi memberitahu mahkamah bahawa amalan itu kebiasaannya dibuat sendiri oleh pelajar tertentu tetapi tidak ditunjukkan kepada rakan lain.

"Saksi berkata bahawa ketika dia junior, saksi nampak beberapa rakan saksi dan pelajar 'batch' saksi membuat amalan 'barcode'. Amalan ini menunjukkan luka di tangan dan dibuat dengan menoreh di lengan menggunakan cutter.

"Amalan tersebut biasanya dibuat sendiri oleh beberapa pelajar dan biasanya tidak ditunjukkan kepada rakan lain. Saksi sendiri juga ada membuat 'barcode' dan dia buat kerana terikut-ikut dengan 'trend batch' rakan.

Saksi pernah membuat 'barcode' sebanyak tiga kali," katanya menceritakan semula keterangan saksi selepas selesai prosiding, hari ini.

Kumpulan Circle 19, akui ikut amalan lalu - senior marah junior

Sementara itu, katanya saksi berkenaan turut menceritakan mengenai kumpulan pelajar Circle 19 yang ada buat dua helai baju, masing-masing berwarna coklat bertulis 'NINETEEN' di bahagian tengah hadapan baju dan berwarna biru dengan tulisan 'NINETEEN' serta logo NT yang bermaksud NINETEEN di dada sebelah kiri atau kanan.

"Saksi juga berkata ada beberapa ahli kumpulan Circle 19 pernah dipanggil guru disiplin atau guru kaunseling atas salah laku kerana didapati membawa 'handphone' di asrama pada sekitar Jun dan Julai 2025.

"Saksi turut berkata bahawa guru-guru tidak tahu jika mereka bersikap kasar kepada pelajar lain. Saksi berkata mereka cuma ikut amalan yang lalu dan mereka sendiri pernah diperlaku sedemikian ketika menjadi pelajar junior," katanya.

Terdahulu, katanya saksi menyatakan bahawa pada malam 15 Julai lalu, dia bersama seorang rakan senior lain dipanggil oleh pelajar lain untuk membantu 'menyelesaikan kes membabitkan Zara berhubung tuduhan kes mencuri seorang pelajar junior.

Katanya, saksi menyatakan bahawa dia diminta untuk mengikut pelajar senior lain bertanya dengan Zara berhubung dakwaan itu.

"Saksi berkata dia diberitahu bahawa terdapat satu tuduhan kes mencuri membabitkan Zara, mengenai kad bank pelajar junior yang sama.

"Saksi mengesahkan bahawa saksi sendiri dan rakan-rakannya menyoal Zara mengenai kes kecurian. Saksi menjelaskan mereka bergilir-gilir menyoal Zara dan saksi sendiri ada bertanya kepada Zara: 'Adakah kamu ada mencuri? Kalau ada kamu cakap iya saja'," katanya.

Bagaimanapun katanya, saksi berkenaan memberitahu mahkamah bahawa arwah Zara tidak menjawab soalan mereka dan hanya mendiamkan diri.

Zara nafi mencuri

Sementara itu, saksi kanak-kanak ke-12 memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa dia ada bertanya kepada Zara Qairina berhubung kes kecurian yang dikaitkan dengan pelajar Tingkatan Satu itu.

Peguam mewakili ibu arwah, Shahlan Jufri, berkata ketika itu saksi bersama empat lagi pelajar senior berada di sebuah bilik asrama yang turut menempatkan seramai 10 pelajar junior.

Katanya, saksi bertanya supaya Zara bercakap secara jujur sama ada benar dia mengambil barang yang didakwa hilang sebelum arwah menjawab, tidak.

"Saksi menyatakan bahawa beliau ada bertanya kepada Zara dengan nada biasa, 'Zara, kau jujur jak, betulkah kau ambil benda tu?', tapi Zara menidakkan tuduhan itu," katanya menceritakan semula keterangan saksi ke-21 inkues kematian Allahyarham Zara selepas selesai prosiding

Sumber - Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url