Saksi terkejut lihat keadaan Zara Qairina dari tangga aras 3
Seorang saksi kanak-kanak yang telah menyoal Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di bilik asrama sekolah, memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini, bahawa dia terkejut melihat pelajar Tingkatan Satu itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Julai lalu.
Pada prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, saksi kanak-kanak ke-10 itu memaklumkan selepas menyoal Zara Qairina pada malam 15 Julai lalu berhubung dakwaan kes kecurian, dia telah pergi ke dorm lain (bukan biliknya sendiri) kira-kira jam 10 malam untuk tidur.
Peguam, Shahlan Jufri yang mewakili keluarga Zara Qairina, berkata saksi itu juga memberitahu mahkamah bahawa dia tidak keluar dari bilik berkenaan antara jam 12 tengah malam hingga 3 pagi 16 Julai lalu.
"Menurut saksi itu, dia dikejutkan oleh kawannya dan diberitahu mengenai Zara terbaring di bawah bangunan asrama sekolah.
"Dia berkata dia terkejut melihat keadaan Zara, dari tangga Aras 3," katanya kepada media selepas prosiding inkues hari ini yang membabitkan hanya seorang saksi kanak-kanak memberikan keterangan.
Zara bersumpah 'Wallahi'
Shahlan berkata, saksi itu memberitahu bahawa kira-kira jam 9 malam 15 Julai lalu, dia dimaklumkan oleh rakan sebilik bahawa dompet berisi wang serta kad pengenalan rakan itu telah hilang dan mengesyaki Zara Qairina.
"Saksi berkata dia meminta seorang pelajar lain untuk memanggil Zara datang berjumpa dengannya bersama rakan-rakan lain dalam bilik dorm saksi itu.
"Menurutnya, perjumpaan pertama terdiri daripada saksi dan juga rakan saksi. Ketika perjumpaan itu, saksi menyoal Zara dengan beberapa pertanyaan seperti: 'Kau tahukah dompet, IC (kad pengenalan) pelajar ini hilang?' dan 'Kau ada curikah barang pelajar ini?'
"Saksi berkata Zara menjawab: 'Tiada, saya tidak ambil.' Saksi meminta rakan sebiliknya yang mengesyaki Zara mengambil barang itu, untuk berada pada perjumpaan berkenaan. Ketika itu, Zara bersumpah 'Wallahi' dan melafazkannya dengan jelas untuk menafikan dia mencuri barang berkenaan," katanya.
Shahlan berkata, saksi memberitahu mahkamah bahawa tidak lama kemudian, seorang pelajar masuk ke dorm itu dan bertanya beberapa soalan kepada Zara Qairina.
"Menurut saksi, selepas itu, pelajar terbabit keluar sebelum masuk semula ke dorm berkenaan dengan dua lagi pelajar yang merupakan rakan mereka. Pelajar-pelajar itu kemudian bertanya beberapa soalan kepada Zara mengenai kecurian barang.
"Ketika itu, saksi ini berkata: 'Kau mengaku saja kalau kau yang ambil, kami tidak marah juga', namun Zara tetap tidak mengaku.
"Saksi berkata selepas itu, dia tidak lagi campur urusan antara perbualan pelajar-pelajar lain dengan Zara.
"Saksi berkata dia juga tidak tahu jika ada sesiapa yang cuba hentikan pertanyaan daripada pelajar lain. Saksi ingat ada seorang pelajar jelas menyatakan perkataan 'bodoh'," katanya.
Kumpulan pelajar 'Circle Nineteen'
Beliau berkata, menurut saksi itu lagi, dia tidak ingat berapa lama perjumpaannya dengan Zara Qairina di dalam bilik asrama berkenaan, selain tidak ingat berapa lama dia berada dalam dorm terbabit ketika pelajar-pelajar lain menyoal arwah.
"Saksi juga berkata dia tidak tahu dan tidak melihat sebarang reaksi emosi luar biasa daripada Zara, sebelum saksi meninggalkan bilik itu.
"Saksi berkata dia keluar dari bilik itu bersama dua lagi pelajar, dan pelajar lain masih bersama Zara ketika itu," katanya.
Shahlan berkata, saksi terbabit turut mengesahkan perjumpaan pada malam 15 Julai lalu itu bukan MA (Mesyuarat Asrama) ataupun MB (Mesyuarat Bilik), selain memberitahu mahkamah bahawa ketika dia adalah junior, biasanya pelajar senior juga akan menegurnya bagi kesalahan peraturan asrama dan teguran daripada pelajar senior adalah tegas.
Selain itu, beliau berkata, saksi berkenaan turut mengesahkan perjumpaan dengan Zara Qairina pada malam 15 Julai lalu adalah terdiri daripada kumpulan pelajar 'Circle Nineteen.'
"Saksi menyatakan dia menyertai kumpulan pelajar dikenali sebagai 'Circle Nineteen' terdiri daripada 19 pelajar perempuan yang rapat antara satu sama lain. Semua ahli kumpulan pelajar itu adalah dari kelas tingkatan sama tetapi mereka tinggal di blok asrama yang berlainan.
"Saksi berkata dia tidak tahu sama ada kumpulan pelajar 'Circle Nineteen' ini juga menasihati pelajar lain apabila ada isu disiplin atau barang hilang, selain tidak tahu sama ada warden atau cikgu-cikgu lain mengetahui kewujudan kumpulan pelajar 'Circle Nineteen'," katanya.
Pasukan pakar forensik
Sementara itu, pasukan pakar forensik dokumen dijadualkan hadir ke Mahkamah Koroner untuk pusingan kedua pemeriksaan dokumen, bermula esok dan akan diteruskan pada 13 dan 14 Oktober ini.
Pasukan itu dianggotai oleh Tay Eue Kam, Dr Dzulkiflee Ismail dan Dr Wan Nur Shuhaila Mat Desa.
Pemeriksaan itu bertujuan memeriksa 11 item bahan dokumen yang baru dibuka oleh saksi ke-17 yang merupakan seorang ahli kimia dan pakar DNA, untuk membandingkannya dengan bahan-bahan ekshibit lain yang sudah ditender di mahkamah dan juga bahan-bahan dokumen dibekalkan oleh pihak anak guam Shahlan.


