Bayaran Jalan Genting Highlands: Bukan tol, sebaliknya caj kenderaan laluan persendirian

 


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata bayaran menggunakan Jalan Genting Highlands bukan tol, sebaliknya caj kenderaan bagi laluan persendirian milik pengendali di kawasan peranginan berkenaan.

Ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini, katanyanya, penggunaan istilah tepat penting bagi mengelak sebarang kekeliruan kerana negara sudah pun memiliki 33 konsesi tol di lebuh raya sedia ada.

Beliau berkata caj kenderaan itu sebaliknya hanya wajar dikenakan kepada pengunjung yang menggunakan laluan berkenaan bagi tujuan rekreasi manakala pekerja dan pemilik tanah serta premis di kawasan itu tidak dikenakan caj.

"Sekiranya mereka (Genting Malaysia Bhd) meletakkan caj kenderaan yang tinggi, kuranglah pelancong datang ke tempat itu. Pelancong akan pergi ke tempat lain yang tidak ada caj atau bukan jalan persendirian.

Pada pandangan saya secara peribadi, pekerja tidak perlu dikenakan caj. Ada juga orang memiliki tanah di situ yang bukan hanya dimiliki oleh Genting. Malah, kita juga ada Institut Aminuddin Baki di situ, takkanlah mereka juga hendak dikenakan caj.

"Jadi saya kira, laluan Batang Kali ke situ yang menjadi laluan umum, tidak patut dikenakan caj. Hanya mereka yang hendak pergi bergembira di atas situ, saya kira wajar dikenakan caj. Kepada mereka yang melaluinya atas tujuan sosial, saya tidak nampak ia patut dikenakan caj," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Young Syefura Othman (PH- Bentong) berhubung langkah Kementerian Kerja Raya (KKR) menangani isu yang sama membabitkan jalan persendirian di masa hadapan.

Minggu lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan laluan memasuki Jalan Genting Highlands bukan Jalan Persekutuan, sebaliknya terletak di atas tanah milikan persendirian.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya mengambil maklum mengenai isu yang sedang menjadi perhatian itu dan memahami kebimbangan orang ramai.

Sebelum ini, Genting Malaysia Bhd mengesahkan akan ada bayaran yang dikenakan untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Sumer - Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url