Salah seorang penerima tajaan, Jemil Nurdurrani Jefri, 18, dari Alor Setar, Kedah, berkata dia bersyukur apabila menerima tajaan itu sekali gus membolehkan dia menyambung pengajian dalam bidang Geologi.
Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, walaupun berhadapan kesukaran ketika belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang kerana faktor kewangan hingga menyebabkan ketinggalan dalam pelajaran, ia bukan halangan untuk berjaya dalam SPM dan memperoleh keputusan yang cemerlang.
"Selepas keadaan kewangan keluarga kembali pulih, saya mengambil masa untuk mengejar semula pelajaran yang tertinggal dengan banyak bertanya kepada guru. Syukur mereka banyak membantu dan memberikan sokongan.
"Saya berharap tajaan ini akan membantu saya mengubah nasib diri dan keluarga supaya kehidupan keluarga lebih baik," katanya.
Jemil Nurdurrani berkata, bapanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan merupakan idolanya kerana tidak pernah mengeluh walaupun perlu melakukan beberapa pekerjaan Serentak.
Muhammad Irfan Daniel Irwan 18, dari Banting, Selangor, berkata dia mengetahui mengenai tajaan pendidikan PETRONAS sejak berada di Tingkatan 2 lagi dan berazam untuk mendapatkannya bagi menyambung pengajian di peringkat ijazah.
Anak sulung dari tiga beradik itu berkata, dia memilih menyambung pengajian dalam Kejuruteraan Kimia di UTP kerana amat menyukai bidang itu yang mempunyai kaitan dengan tenaga baharu.
"Saya yakin UTP mampu memberi peluang dan ruang untuk saya berjaya dalam bidang pilihan.
"Tajaan PETRONAS ini membantu meringankan beban kami sekeluarga dan membolehkan saya mengejar cita-cita menjadi jurutera," katanya.
Menurut Muhammad Irfan, ibunya yang bekerja sebagai kerani sering memberikan motivasi dan semangat kepadanya supaya cemerlang dalam pelajaran dan hidup.
"Ini kali pertama saya berjauhan dari keluarga. Saya akan sentiasa pegang kata-kata ibu supaya belajar rajin-rajin dan jangan tinggalkan solat," katanya lagi.
Anak jati Kuala Lumpur, Soh Yu Yuet, 18, berkata ibu bapanya adalah insan paling gembira apabila mengetahui dia mendapat tajaan pendidikan daripada PETRONAS.
Katanya, sebagai anak tunggal dia bersyukur membuatkan ibu bapanya berbangga sekali gus akan berusaha mengejar cita-cita sebagai jurutera kimia.
Menurut Yu Yuet, ketika pandemik COVID-19 dia berhadapan sedikit tekanan kerana terlalu banyak memberi tumpuan pada pelajaran selain kurang pergaulan dengan orang lain.
Namun dia berjaya mengharunginya dengan baik apabila mengalihkan tekanan itu dengan menyertai pelbagai aktiviti lain.
"Saya nasihatkan pelajar jangan terlalu fokus pada akademik sahaja tetapi seimbangkan dengan aktiviti lain kerana ia membantu kesihatan mental dan fizikal selain meluaskan lagi pandangan," katanya.
T Shastigeeyan, 18, dari Bagan Datuk, Perak tidak menyangka permohonan mendapatkan tajaan yang dibuat pada saat akhir masih membolehkannya turut terpilih.
Katanya, dia juga terhutang budi kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang yang sanggup datang ke sekolah pada hari cuti umum, semata-mata mahu menandatangani dokumen permohonannya.
"Saya terkejut mendapat tajaan PETRONAS dalam bidang Kejuruteraan Kimia di UTP seperti diimpikan dan tanpa membuang masa, saya terus membuat persiapan untuk ke sana," katanya.
Shastigeeyan berkata, dia juga berharap pelajar lain tidak mudah berputus asa dalam hidup kerana jika berusaha, sudah pasti akan membuahkan hasil.
Program Memperkasakan Ilmu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan PETRONAS terhadap pendidikan dalam menyokong pembangunan modal insan negara.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1975, ia memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar Malaysia dengan nilai pelaburan sekitar RM4.2 bilion.
Program ini juga menyokong Agenda Kelestarian PETRONAS yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang mampu memberi impak sosial berkekalan.


