Ekonomi Malaysia stabil, berdaya tahan di sebalik cabaran kos sara hidup - Gabenor BNM
Ekonomi Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan meskipun tidak terkecuali menjadi antara negara berdepan dengan cabaran kos sara hidup, dunia pekerjaan yang berubah dan teknologi yang bergerak pantas.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata kesemua cabaran itu mampu ditangani jika rakyat menitikberatkan literasi kewangan yang lebih baik.
Katanya, ia menjadi kemahiran asas yang membantu rakyat untuk berfikir lebih panjang sebelum berbelanja, membuat keputusan kewangan yang bijak dan membina daya tahan isi rumah.
"Ilmu kewangan membantu kita menilai keperluan sebenar, mengelak hutang berlebihan, dan sentiasa bersedia sekiranya menghadapi kecemasan.
"Atas sebab itu, FEN (Jaringan Pendidikan Kewangan) memperbaharui Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 yang matlamat kita bukan sekadar mahu rakyat tahu mengira duit, tetapi tahu menggunakan duit dan menguruskan kewangan untuk meningkatkan taraf hidup," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Karnival Celik Kewangan Pulau Pinag anjuran BNM dengan kerjasama industri kewangan yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow
Karnival itu adalah acara kemuncak Bulan Literasi Kewangan 2025, inisiatif nasional untuk memperkasa rakyat dengan ilmu dan kemahiran kewangan.
Sepanjang bulan ini, Skuad Celik Kewangan, terdiri daripada ahli-ahli dan rakan usaha sama FEN, menjelajah ke lebih 100 lokasi di seluruh negara untuk bertemu pelajar, peniaga kecil, suri rumah, warga emas dan lain-lain dengan membawa mesej mengurus wang dengan bijak adalah asas kesejahteraan hidup.
Dalam pada itu, Abdul Rasheed berkata, dunia kewangan digital yang semakin berkembang mendorong hampir sembilan daripada 10 rakyat Malaysia sudah mula menggunakan perkhidmatan kewangan digital daripada membayar bil hingga membeli perlindungan insurans.
"Namun dalam kemudahan ini, ada risikonya apabila terdedah dengan serangan scam (jenayah penipuan) yang semakin canggih apabila ada yang menggunakan AI (kecerdasan buatan) untuk meniru suara dan wajah orang yang kita kenal.
"Oleh itu, pesan kami, jangan kongsi maklumat peribadi. Periksa sebelum klik. Fikir sebelum bayar," katanya.
Tegasnya, BNM bersama industri kewangan dan agensi penguat kuasa akan terus memperkukuh langkah keselamatan siber, tetapi yang paling penting ialah kesedaran dan kewaspadaan setiap pengguna.
Abdul Rasheed berkata, beliau turut menyedari budaya 'painless payment' yang menjadi cabaran dalam dunia kewangan pada masa kini.
"Bila segalanya boleh dibayar dengan satu sentuhan atau imbasan skrin sahaja, kita mudah berbelanja tanpa sedar. Kajian mendapati 31 peratus pengguna berbelanja secara impulsif (pembelian tanpa rancangan) ketika membeli dalam talian.
"Ini mungkin nampak kecil, tapi jika berulang setiap bulan, ia boleh menjejaskan simpanan dan menyebabkan tekanan kewangan.
"Sebagai langkah awal, BNM bersama Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank akan melaksanakan Program Pendidikan Kewangan Tepat Pada Masanya (JITFE) khas untuk pemohon pembiayaan peribadi, supaya pinjaman dapat dimanfaatkan secara bijak," katanya.
Sumber - Berita Harian


