Haier perkenal mesin basuh X Series dengan teknologi AI lebih pintar, jimat tenaga
Haier Malaysia, penyedia penyelesaian kehidupan dan transformasi digital global terkemuka, terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran peralatan rumah premium dengan memperkenalkan rangkaian Mesin Basuh X Series serba baharu, menampilkan gabungan teknologi pintar untuk cucian lebih cekap dan mesra alam.
Diperkenalkan selaras dengan falsafah jenama 'More Creation, More Possibilities', siri terbaharu ini terdiri daripada tiga model iaitu X5, X7 dan X9, yang masing-masing direka untuk memberikan pengalaman cucian premium yang memenuhi keperluan gaya hidup moden isi rumah Malaysia.
Pengarah Urusan Haier Malaysia, Fan Jing, berkata pelancaran X Series menandakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan syarikat, yang menyasarkan peningkatan jualan tahunan sebanyak 30 peratus bagi segmen mesin basuh menjelang akhir tahun ini.
"Tahun 2025 membawa momentum positif untuk segmen mesin basuh kami. Selepas sambutan menggalakkan terhadap Haier L+ Washing Machine yang dilancarkan Mei lalu, kami yakin X Series akan menjadi rangsangan baharu di pasaran.
"Ia mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi bermatlamat, memudahkan kehidupan pengguna sambil mengurangkan impak terhadap alam sekitar," katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.
X Series menampilkan dua teknologi utama iaitu AI Wash dan Essence Wash yang direka untuk memberikan hasil cucian terbaik dengan penggunaan air, tenaga dan masa minimum.
AI Wash berfungsi mengenal pasti jenis fabrik serta kadar penyerapan air secara automatik sebelum mengesyorkan program cucian paling sesuai.
Manakala, Essence Wash menggunakan sistem pracampuran dan mikrobuih eksklusif Haier untuk melarutkan detergen dengan lebih sekata dan menyemburkannya terus ke atas fabrik.
Hasilnya, kitaran cucian penuh dapat disiapkan dalam 39 minit, kira-kira 37 peratus lebih pantas berbanding kitaran tradisional.
Selain itu, teknologi Ultra Fresh Air memastikan dram dalaman dikeringkan secara automatik bagi mengelakkan bau hapak dan kedutan pada pakaian tanpa perlu pengguna menetapkan mod tambahan.
Haier X Series turut hadir dengan antara muka sentuhan penuh Color AI, yang menampilkan paparan LCD futuristik tanpa kluster butang fizikal, memberikan pengalaman pengguna yang lebih intuitif dan moden.
Gabungan rekaan anggun dan teknologi pintar menjadikan siri ini bukan sekadar mesin basuh, tetapi pelengkap kepada gaya hidup dan reka bentuk dalaman rumah masa kini.
Mesin Basuh Haier X Series kini boleh dipra-tempah pada harga bermula RM2,249 di seluruh negara.
Haier juga telah menduduki tempat Jenama Peralatan Utama Global No.1 selama 16 tahun berturut-turut menurut Euromonitor, dan disenaraikan dalam Top 100 Most Valuable Global Brands oleh Kantar BrandZ selama enam tahun berturut-turut.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman rasmi www.haier.com.my atau saluran media sosial rasmi Haier di Facebook, Instagram, dan TikTok.


