Katanya, SSDM tidak sepatutnya menjadi mekanisme pertandingan atau membebankan guru, sebaliknya perlu dikekalkan kepada tujuan asalnya untuk merekodkan perilaku disiplin murid.
"Langkah penambahbaikan ini akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar membantu meringankan tugas guru," katanya.
Sementara itu, Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada lebih 10,000 guru baharu yang sudah menerima penempatan, termasuk 500 guru kaunseling yang akan berkhidmat di seluruh negara.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 81 peratus adalah guru yang sebelum ini memohon pertukaran atas faktor jarak antara pasangan.
Dalam pada itu, Fadhlina turut menegaskan bahawa pembentukan karakter murid bukan hanya tanggungjawab guru Pendidikan Islam atau Moral semata-mata, sebaliknya menjadi amanah semua pendidik tanpa mengira subjek.
Menurutnya, konsep pendidikan manusiawi membawa maksud proses transformasi diri murid selepas mereka memahami dan memaknai ilmu pengetahuan yang disampaikan.
"Ketika ini, tidak ada guru yang terkecuali dalam melaksanakan pembentukan karakter. Semua subjek mempunyai peranan masing-masing dalam usaha membentuk sahsiah dan nilai anak-anak kita.
"Itulah makna sebenar pendidikan manusiawi , perubahan diri murid hasil daripada ilmu yang diajar oleh guru.
"Cikgu Sains menyumbang kepada pembentukan karakter melalui ilmu Sains, manakala Cikgu Sejarah membentuk karakter melalui subjek Sejarah," katanya.


