Zara Zya sahkan hidap kanser sel buah pinggang tahap satu
Pelakon, Zara Zya, 40, mengesahkan dirinya menghidap renal cell carcinoma atau kanser buah pinggang.
Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin bagaimanapun memaklumkan kanser yang dihidapinya itu masih berada pada tahap satu.
Perkara berkenaan dikongsikan menerusi platform Threads, sekali gus mengingatkan orang ramai agar tidak mengabaikan isyarat yang diberikan oleh tubuh badan.
"Sehingga tahun lepas, semuanya terjawab apabila saya disahkan menghidap renal cell carcinoma tahap satu.
Tolong jangan abaikan isyarat tubuh kita," tulisnya.
Zara turut mengakui tidak menyangka simptom yang dialaminya selama ini merupakan petanda kepada penyakit berkenaan.
"Bertahun-tahun badan memberi isyarat. Cepat penat, hidung kerap berdarah dan denyutan berulang," ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mendoakan agar pelakon drama Sumpah Ibuku itu diberikan kesembuhan serta kekuatan untuk terus berjuang melawan penyakit tersebut.


