Hadiah Jutawan Akaun Pelaburan i-Rizq Plus

 


Peguam bergelar jutawan selepas dinobatkan penerima pertama cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat bagi Kategori Cabutan Jutawan Utama untuk tahun 2026.

Normila Hussain, 51, dari Shah Alam membawa pulang RM1 juta selepas diumumkan pemenang utama cabutan berkenaan.

Ibu kepada empat anak itu mengakui masih terkejut selepas dimaklumkan sebagai pemenang hadiah utama.

Katanya, dia menganggap kemenangan ini sebagai rezeki Ramadan yang akan disambut pada minggu hadapan.

"Ketika menerima panggilan daripada pihak Bank Rakyat minggu lalu, saya menyangka ia adalah 'scammer'.

"Hanya selepas menerima e-mail dari Bank Rakyat yang mengesahkan perkara itu, baru saya percaya sepenuhnya.

"Walaupun sudah dimaklumkan pada minggu lalu, hingga ke hari ini saya masih terkejut menjadi jutawan sekelip mata," katanya ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Utama Akaun Pelaburan i-Rizq Plus di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.

Hadiah disampaikan Ketua Pegawai Kewangan Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria.

Normila berkata, dia menyertai pelaburan itu dua tahun lalu dengan membuka akaun di cawangan Bank Rakyat Shah Alam.

"Saya melabur kerana tertarik dengan banyak manfaat dan keuntungan yang ditawarkan kepada pelabur berbanding bank lain.

"Hanya pada tahun lalu saya mengetahui berkenaan cabutan ini dan tidak sangka saya terpilih memenangi RM1 juta," katanya.

Wanita berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu mengakui masih belum mempunyai perancangan untuk memanfaatkan hadiah kemenangan itu.

Terdahulu, Bank Rakyat mengumumkan struktur hadiah dan ganjaran baharu bagi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus untuk 2026 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10.8 juta, sekali gus bakal melahirkan empat jutawan baharu.

Nor Haimee berkata, pengenalan struktur ganjaran baharu ini mencerminkan komitmen berterusan bank untuk memupuk amalan menyimpan dan melabur secara konsisten dalam kalangan masyarakat.

"Melalui Rizq Plus, kami bukan sahaja menawarkan peluang pelaburan patuh syariah, malah menyediakan ganjaran bermakna kepada pelanggan.

"Dengan jumlah hadiah RM10.8 juta, lebih ramai pelanggan berpeluang menjadi jutawan tanpa mengira latar belakang atau jumlah pelaburan," katanya dalam Majlis Pelancaran Kempen Ramadan Raya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelanggan hanya perlu membuka akaun dengan pelaburan minimum RM100 untuk menikmati peluang memenangi pelbagai hadiah yang ditawarkan, dengan lebih daripada 10,000 pemenang dijangka menerima ganjaran sepanjang kempen ini.

Rizq Plus 2026 menampilkan 15 kategori cabutan bertuah yang akan dilaksanakan sepanjang tahun, termasuk kategori Jutawan Utama.

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url