Kampung milik Malaysia, penduduk kekal Indonesia

 


Penduduk di tiga kampung di Kalimantan Utara, Indonesia yang dilapor berada dalam wilayah Malaysia, kekal sebagai rakyat republik itu dan akan dipindahkan ke lokasi bakal ditentukan.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo, berkata kerajaan Indonesia juga akan memberi pampasan tertentu kepada penduduk terbabit.

"Kewarganegaraan penduduk di tiga kampung berkenaan kekal sebagai rakyat Indonesia dan tidak akan menjadi warga Malaysia.

"Semua perkara membabitkan lokasi dan pampasan masih dalam proses perbincangan," katanya.

Raden Mohammad Iman berkata, hampir semua penduduk di tiga kampung itu dikatakan sudah mengosongkan kawasan berkenaan dan difahamkan berpindah ke rumah keluarga masing-masing.

Beliau berkata, hanya segelintir penduduk dikesan masih berada di rumah masing-masing dan dijangka turut berpindah.

Berdasarkan maklumat daripada pihak kerajaan republik itu dan badan pengelola perbatasan serta pihak berkaitan, beliau menegaskan, proses rundingan antara kedua-dua negara berhubung status kawasan didiami sudah lama berlangsung.

"Penduduk memahami kesan daripada perkembangan ini dan sudah mempersiapkan diri serta keluarga masing-masing.

"Mengikut maklumat daripada sumber berita tempatan, ada dalam kalangan penduduk terbabit sudah mengosongkan kampung berkenaan dan berpindah ke kota lain.

"Buat masa sekarang, urusan yang giat dilakukan ialah berkaitan pengesahan rasmi surat tanah, keluasan dan sebagainya untuk tujuan pemberian pampasan kepada pemilik tanah, cuma belum dapat dipastikan diberi dalam bentuk apa," katanya.

Hanya 34 keluarga terkesan

Laporan agensi berita Antara sebelum ini menyebut, hanya 34 keluarga di Pulau Sebatik, Kalimantan Utara, dari tiga kampung terkesan susulan perubahan sempadan dengan Malaysia.

Perubahan itu membabitkan keluasan 4.91 hektar tanah kediaman dan 127 hektar ladang kelapa sawit yang kini diisytiharkan berada dalam wilayah Malaysia.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia termasuk tiga kampung di Nunukan, Kalimantan Utara, tidak bersandarkan kepada prinsip pampasan, timbal balik atau untung rugi seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia bersandarkan kepada konvensyen dan perjanjian ditetapkan.

Mengikut laporan media antarabangsa, tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, didakwa termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.

Tiga kampung itu ialah Kampung Kabungalor, Kampung Lipaga dan Kampung Tetagas yang terletak berdekatan sempadan Tawau, Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan Indonesia (BNPP), Komjen Polis Makhruzi Rahman, pada mesyuarat bersama Suruhanjaya II Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia di Kompleks Parlimen, Senayan, baru-baru ini.

Sumber : Berita Harian

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url