HASiL kesan RM1.4 bilion pendapatan tidak dilaporkan melalui semakan e-Invois

 


Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengesan sebanyak RM1.4 bilion pendapatan tidak dilaporkan melalui semakan e-Invois, berdasarkan tindakan penguatkuasaan terhadap pembayar cukai yang tidak mematuhi undang-undang percukaian.

Sejak pelaksanaan e-Invois pada 1 Ogos 2024, sebanyak 184,325 pembayar cukai telah mengemukakan 979 juta e-Invois, menunjukkan penerimaan positif dari Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta pembayar cukai lain.

Pun begitu, HASiL mengenal pasti lebih 500,000 kes berpotensi tidak melaporkan pendapatan yang tinggi berbanding rekod percukaian sedia ada.

“Melalui pendekatan ini, HASiL telah menjalankan semakan audit dan mengeluarkan peringatan untuk menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan atau kesilapan dalam maklumat percukaian mereka.

“Sebanyak 17,188 pembayar cukai yang sebelum ini didapati
tidak mematuhi pengemukaan borang nyata cukai pendapatan (BNCP), telah tampil mengemukakannya dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang sebanyak RM1.4 billion yang menyumbang kepada hasil cukai sebanyak RM290 juta,” menurut HASiL dalam satu kenyataan.

Tambahnya, HASiL komited memberi sokongan penuh kepada Kerajaan bagi memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka dengan melapor dan membayar cukai dengan sewajarnya.

Dengan gabungan pendekatan berasaskan data dan teknologi terkini, HASiL sentiasa memastikan cukai dipungut secara adil dan saksama kepada golongan yang layak serta berupaya mengesan sebarang ketidakpatuhan.

“Sehubungan dengan itu, HASiL menasihatkan semua pembayar cukai supaya sentiasa memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap dan terkini bagi mengelakkan penalti yang lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” tambahnya.

Sumber: Buletin TV3

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url