MH370: Ocean Infinity tamatkan pencarian tanpa penemuan baharu


Syarikat penerokaan laut dalam, Ocean Infinity menamatkan operasi pencarian terbaharu pesawat MH370 di Lautan Hindi tanpa menemui sebarang maklumat atau data baharu berkaitan pesawat yang hilang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett, berkata kapal syarikat itu secara rasmi meninggalkan zon pencarian 23 Januari lalu dalam usaha terbaharu untuk menjejak MH370.

Sejak memulakan misi ini pada 2018, syarikat itu telah menghabiskan 151 hari di laut dan memetakan lebih 140,000 kilometer persegi dasar laut.

"Adalah penting bagi kami memanfaatkan setiap maklumat dan data yang ada serta kembali melakukan pencarian, namun walaupun dengan segala usaha itu, kami masih belum dapat menemuinya," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web syarikat

Plunkett berkata, skala operasi pencarian itu, dari segi kawasan geografi dan teknologi, hampir mustahil untuk dibayangkan, namun beliau menyatakan kebanggaan terhadap usaha pasukan serta teknologi canggih yang digunakan sepanjang misi berkenaan.

Beliau berkata gabungan ketelitian saintifik, teknik automasi, robotik serta pengalaman organisasi yang lebih luas membolehkan operasi pencarian dilakukan dengan tahap ketepatan dan kelajuan yang tidak dapat dibayangkan pada 2018.

"Saya berharap mereka di seluruh dunia yang begitu mengambil berat tentang perkara ini mengetahui bahawa walaupun kita tidak memperoleh keputusan yang diharapkan, ramai orang telah melakukan yang terbaik," katanya.

Walaupun tidak mencapai hasil yang diinginkan, Plunkett menegaskan bahawa kawasan yang telah diperiksa kini boleh diketepikan, sekali gus memberikan kejelasan penting untuk usaha pencarian pada masa depan.

"Jika tidak pun, kita boleh mengatakan dengan yakin bahawa pesawat itu bukan berada di kawasan yang telah kita periksa.

"Itu penting kerana ia memberikan kejelasan dan membantu mereka yang terus mengkaji bukti untuk memperhalusi analisis serta merangka strategi pencarian akan datang," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga mangsa, kerajaan Malaysia dan Australia serta pelbagai individu dan syarikat yang terlibat dalam usaha berkenaan.

"Ocean Infinity kekal komited terhadap misi jangka panjang untuk mencari pesawat yang hilang itu.

"Walaupun fasa pencarian ini telah berakhir, komitmen kami tidak. Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dengan harapan dapat kembali menyambung pencarian apabila keadaan mengizinkan," katanya.

Pesawat MH370 milik Malaysia Airlines hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Pada 3 April tahun lalu, kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan syarikat penerokaan laut dari United Kingdom itu untuk menyambung semula operasi pencarian MH370. 

- BERNAMA

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url