125,000 pembantu tadbir Gred 1 akan naik ke Gred 5 mulai Januari 2027
Seramai 125,000 pembantu tadbir yang kini berada pada Gred 1 akan menikmati kenaikan ke Gred 5 mulai Januari 2027.
Ia membabitkan 106,722 jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) dan 20,106 jawatan Pembantu Tadbir (Kewangan).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kenaikan gred perkhidmatan dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Perkara itu yang dibincangkan dalam mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz mengenai pelaksanaan SSPA.
"Bagi menambah baik peluang laluan kerja, saya telah minta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk sediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 naik ke Gred 5.
"Ini untuk 125,000 orang Pembantu Tadbir Pengkeranian dan Kewangan," katanya pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Perdana Menteri berkata, walaupun ada kenaikan mengikut SSPA tetapi ada keperluan untuk menjaga kategori yang terlalu rendah itu dengan meningkatkan gred mereka.
Perlu kursus dua minggu, pendedahan kepada asas IT
Anwar berkata, kumpulan berkenaan juga perlu mengikuti kursus pendek selama dua minggu.
"Itu JPA sedang uruskan cadangan ini. Syaratnya itu supaya kita nak pastikan dia ikuti perkembangan kelayakannya sedikit pendedahan tentang Teknologi Maklumat (IT), itu saja.
"Jadi saya ucap tahniah kepada mereka dan kita cuba jalankan dan laksanakan pada tahun ini juga.
"Maknanya dalam tempoh enam bulan, KSN maklumkan kita boleh selesaikan kursus bagi 125,000 ini dan supaya kita laksanakan selewat-lewatnya 1 Januari tahun depan kenaikan pangkat ini," katanya.
Sementara itu, Shamsul Azri yang ditemui selepas majlis, berkata inisiatif kerajaan itu adalah usaha menambah baik SSPA dengan mengambil kira pelbagai pandangan.
"Syarat utama mereka perlu menjalani kursus... adalah syarat dia nanti.
"Kita akan mulakan Januari 2027 jadi dalam tempoh enam bulan ini kita akan memperincikan syarat-syarat mengikut keperluannya," katanya.

