PN lantik Samsuri Ketua Pembangkang ganti Hamzah

 


Perikatan Nasional (PN) melantik Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang yang baharu, menggantikan penyandang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ketetapan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Tertinggi gabungan itu yang dipengerusikan Ahmad Samsuri di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada persetujuan berkenaan sudah dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul atau sebaliknya.

"Mesyuarat bersetuju melantik Ahmad Samsuri untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang," katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Ahmad Samsuri dilapor mengesahkan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut yang dipecat BERSATU sebelum ini sudah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

Rentetan itu, beliau dilapor mengarahkan Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS menulis surat pemakluman kekosongan jawatan itu kepada Johari.

Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan Mesyuarat Tertinggi PN juga bersetuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya bersama parti tertentu yang memiliki keserasian perjuangan dan kepentingan bersama gabungan itu.

Katanya, mesyuarat turut membincangkan beberapa isu semasa yang menjadi perhatian rakyat dan kepentingan negara.

Beliau berkata, PN juga akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang bertanggungjawab, konstruktif dan berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat serta masa depan negara sentiasa diutamakan.

"Mesyuarat hari ini, turut memutuskan pelantikan Pengerusi PN di peringkat negeri dengan Datuk Seri Shahidan Kassim akan menerajui kepemimpinan gabungan berkenaan di Perlis," katanya.

Senarai Pengerusi PN negeri:

Perlis: Datuk Seri Shahidan Kassim

Kedah: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Pulau Pinang: Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai

Perak: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

Selangor: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Negeri Sembilan: Ditangguhkan

Melaka/Wilayah Persekutuan: Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin

Johor: Datuk Dr Sahruddin Jamal

Pahang: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

Terengganu: Datuk Dr Alias Razak

Kelantan: Datuk Ahmad Yakob

Sabah: Datuk Dr Aliakbar Gulasan

Sarawak: Jaziri Alkaf Abdillah Suffian



Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url