Honda rugi buat kali pertama dalam tempoh hampir 70 tahun

 


Honda Motor mencatatkan kerugian tahunan pertama dalam hampir 70 tahun sebagai syarikat tersenarai, susulan kos melebihi AS$9 bilion bagi menyusun semula perniagaan kenderaan elektrik (EV), selain membatalkan sasaran jualan EV jangka panjang.

Pendedahan laporan kewangan terburuk sejak Honda disenaraikan di pasaran saham pada 1957 menunjukkan betapa berisikonya pertaruhan agresif terhadap EV bagi pengeluar automotif tradisional apabila berdepan permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan.

Ketua Pegawai Eksekutif pengeluar kereta kedua terbesar Jepun itu, Toshihiro Mibe, berkata Honda membatalkan sasaran supaya EV menyumbang satu perlima daripada jualan kereta baharunya menjelang 2030, selain sasaran peralihan sepenuhnya kepada jualan EV atau sel bahan api menjelang 2040.

Mibe berkata, Honda juga menggantung tanpa tempoh projek EV di Kanada, iaitu pelan pelaburan bernilai AS$11 bilion untuk menghasilkan EV dan bateri, yang sepatutnya menjadi pelaburan terbesar syarikat Jepun itu di negara berkenaan.

Kerugian operasi Honda berjumlah 414.3 bilion yen (AS$2.63 bilion) bagi tahun kewangan berakhir Mac, berbanding anggaran median kerugian 315.6 bilion yen dalam tinjauan melibatkan 22 penganalisis oleh LSEG dan keuntungan 1.2 trilion yen yang dicatatkan setahun sebelumnya.

Honda merekodkan jumlah kerugian berkaitan EV sebanyak 1.45 trilion yen bagi tahun kewangan berakhir Mac dan menjangkakan kos tambahan sebanyak 500 bilion yen lagi untuk tahun kewangan yang baru bermula.

Bagaimanapun, syarikat itu masih menjangkakan kembali mencatat keuntungan tahun ini dengan unjuran keuntungan 500 bilion yen hasil langkah pengurangan kos dan prestasi kukuh perniagaan motosikalnya.

"Perniagaan motosikal akan meningkatkan kapasiti pengeluaran di India ... dan menyasarkan jualan tertinggi dalam sejarah sebanyak 22.8 juta unit," kata Honda dalam penyata pendapatannya.

Jualan kukuh di India dan Brazil membolehkan perniagaan motosikal Honda mencapai jumlah jualan dan keuntungan operasi tertinggi dalam sejarah bagi tahun kewangan berakhir Mac, sekali gus membantu syarikat mengurangkan kesan besar susut nilai perniagaan EV serta penurunan jualan kereta di pasaran utama termasuk China.

Syarikat itu menjangkakan kenaikan harga bahan mentah, termasuk kesan konflik di Asia Barat, akan menyebabkan impak sebanyak 313 bilion yen terhadap keuntungan operasinya bagi tahun kewangan semasa.

-Reuters

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url