"Kita harus ikut saluran mahkamah yang buat keputusan tadi dan dan kita juga sudah beri nasihat tetapi diteruskan pengisytiharan di hotel," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka, sebentar tadi.
Pemasyhuran itu diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
Pemasyhuran itu bagaimanapun dijangka menghangatkan lagi krisis pertikaian takhta di Negeri Sembilan.
Pada April lalu, empat undang, termasuk Datuk Mubarak Thahak (Sungai Ujong) yang kedudukannya dipertikai, mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun menegaskan pemecatan Tuanku Muhriz tidak sah dan tidak diiktiraf atas alasan Mubarak tiada kuasa sah sebagai Undang.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan komited mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di negara ini.
"Kita sebagai Kerajaan Persekutuan, walaupun tidak terbabit secara langsung, harus memberikan nasihat (kepada Raja-Raja Melayu).
"Terutama bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia, sistem raja ini bukan hanya namanya, tetapi kemuliaannya, beberapa kaedah dan peraturannya. Sebab ini kita tetap pertahankan kedudukan, kemuliaan dan kedaulatan raja.
"Saya juga menyokong penuh tindakan Aminuddin yang menyatakan oleh kerana simpang siur tidak tentu arah ini, sebaiknya diadakan pilihan raya dan Tuanku Muhriz juga sudah beri perkenan," katanya.

