Kanser kolon kian meningkat dalam kalangan orang muda
Kira-kira 11 peratus kanser kolon di negara ini dideritai individu berusia di bawah 40 tahun dengan sebahagian besar daripada mereka menyedari sudah pada tahap lewat, iaitu tahap tiga dan empat.
Walaupun kanser kolon dilaporkan lebih kerap menyerang golongan lebih berusia, kajian diterbitkan dalam Singapore Medical Journal pada 2021 menunjukkan trend penyakit kanser kolon kalangan golongan dewasa muda semakin mendapat perhatian di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Berdasarkan laporan Jabatan Registri Kanser Kebangsaan, Institut Kanser Negara (IKN), jumlah kes kanser kolon, kini menjadi kanser kedua paling kerap berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia, meningkat sebanyak 53.9 peratus, daripada 15,515 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016 kepada 23,871 kes bagi tempoh 2017 hingga 2021.
Peningkatan itu berlaku bagi kedua-dua jantina, dengan kes dalam kalangan lelaki meningkat kira-kira 56.4 peratus, manakala dalam kalangan wanita, kira-kira 50.6 peratus.
Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Prof Dr M Murallitharan, berkata di Malaysia, kanser kolon masih lebih kerap berlaku dalam kalangan kumpulan usia lebih tua, terutama bagi usia 50 tahun ke atas.
Dr Murallitharan berkata, daripada 23,871 kes kanser kolon yang direkodkan Jabatan Registri Kanser Kebangsaan dari 2017–2021, kira-kira 3,653 kes (15.3 peratus) berlaku dalam kalangan individu bawah usia 50 tahun, manakala dalam kumpulan usia bawah 50 tahun, kes paling tinggi direkodkan dalam kumpulan usia 45 hingga 49 tahun, diikuti 40 hingga 44 tahun.
"Walaupun majoriti kes masih berlaku dalam golongan lebih berusia, trend kanser kolon dalam kalangan dewasa muda semakin mendapat perhatian, termasuk di Malaysia.
"Kajian tempatan menunjukkan 11 peratus kes kanser kolon adalah dalam kalangan individu di bawah usia 40 tahun dan sebahagian besar daripada mereka dikesan pada tahap lewat.
"Justeru, kanser kolon tidak lagi boleh dianggap sebagai penyakit yang hanya menyerang warga emas," katanya kepada BH.
Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan mengenai peningkatan kes kanser kolon dalam kalangan golongan dewasa muda, yang mana satu daripada lima kes yang didiagnosis berlaku dalam kalangan individu berusia bawah 54 tahun, menunjukkan peningkatan 11 peratus dalam kumpulan usia itu sepanjang dua dekad yang lalu.
Faktor usia, genetik
Mengulas lanjut, Dr Murallitharan, berkata terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada risiko kanser kolon, termasuk faktor tidak boleh diubah seperti peningkatan usia, genetik dan mereka menghidap penyakit radang usus, terutama dalam tempoh lama.
Terdapat juga faktor boleh diubah, seperti tabiat pemakanan, obesiti dan kurang aktiviti fizikal serta tabiat merokok dan pengambilan alkohol.
Mengenai pengambilan makanan terlampau pedas secara berlebihan turut boleh menyumbang kepada risiko kanser kolon, Dr Murallitharan menjelaskan, ia mungkin boleh menyebabkan iritasi pada saluran gastrousus dan dikaitkan dengan beberapa masalah pencernaan, namun masih tiada bukti saintifik yang kukuh bahawa ia secara langsung menyebabkan kanser berkenaan.
Bagaimanapun katanya, jika makanan pedas diambil bersama makanan yang tinggi lemak, rendah serat atau makanan diproses secara kerap, corak pemakanan keseluruhan itu boleh menyumbang kepada peningkatan risiko kanser kolon.
"Risiko kanser kolon lebih banyak dikaitkan dengan faktor seperti pengambilan daging merah dan daging diproses yang tinggi, diet rendah serat, obesiti atau berat badan berlebihan, kurang aktiviti fizikal, merokok, pengambilan alkohol serta faktor genetik atau sejarah keluarga.
Sumber : Berita Harian

