Bekas penerjun wanita negara peluk Islam

 


Bekas penerjun wanita negara, Kimberly Bong Qian Ping mengumumkan dirinya kini sudah memeluk agama Islam pada Julai lalu.

Berita gembira itu dikongsikan sendiri Kimberly menerusi akaun Instagram miliknya dengan menyifatkan keputusan berkenaan sebagai antara detik paling istimewa dalam hidupnya.

"Tidak pernah berasa lebih bangga dengan keputusan yang saya buat pada Julai. Benar-benar antara detik yang paling istimewa. Alhamdulillah," tulisnya.

Kimberly, yang sinonim dengan acara 3 meter papan anjal dan platform 10 meter, mula mencuri perhatian ketika berusia 14 tahun apabila mewakili negara pada Kejohanan Grand Prix (GP) Terjun FINA Australia 2016.

Sepanjang hampir 15 tahun dalam sukan terjun, Kimberly turut melakar pelbagai pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa.

Antara kejayaan terbesar diraihnya ialah memenangi pingat emas pada Sukan SEA dan Terbuka Malaysia 2023, selain meraih pingat perak dan gangsa pada Sukan SEA 2021 serta 2017.

Kimberly kemudian mengumumkan persaraan daripada sukan terjun pada 2024 selepas hampir 15 tahun berkecimpung dalam sukan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Kimberly dilaporkan bakal bergelar isteri kepada bekas penyerang skuad Bawah 23 (B-23) negara, Danial Asri, yang kini beraksi bersama kelab DPMM.

Menguatkan spekulasi itu apabila Danial turut dilihat berkongsi hantaran Kimberly mengenai penghijrahannya itu menerusi Insta Story miliknya.


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url