Selangor umum cuti peristiwa 1 September sempena juara SUKMA 2026
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mengumumkan cuti peristiwa khas pada 1 September ini sempena kejayaan kontinjen Selangor menjadi juara keseluruhan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini.
Beliau berkata, pengumuman itu dibuat sebagai tanda penghargaan dan meraikan kejayaan atlet Selangor yang mencatat pencapaian membanggakan dengan meraih lebih 240 pingat, sekali gus mengungguli temasya berkenaan.
"Selaku Menteri Besar Selangor, saya tumpang gembira atas prestasi yang sungguh hebat ini.
"Sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet, pegawai, sukarelawan, ibu bapa yang membantu sepanjang temasya ini, saya berbesar hati mengumumkan kerajaan negeri Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa khas SUKMA 2026 pada 1 September 2026, iaitu pada hari Selasa depan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutupan SUKMA Selangor 2026 di Aneka Walk, Sekyen 14.
Hadir sama, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Selangor mendahului kedudukan pingat dengan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 245 pingat.
Jumlah itu menyaksikan Selangor jauh meninggalkan Wilayah Persekutuan di kedudukan kedua yang mengumpul 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa, manakala Terengganu berada di tempat ketiga dengan kutipan 43 emas, 44 perak serta 36 gangsa.
Amirudin berkata, SUKMA disifatkan sebagai satu agenda kesukanan dan pembinaan sebuah bangsa yang berkeyakinan, selain membina persabahatan baharu merentasi kaum serta agama.
"Kepada semua yang telah bersama-sama sejak hari pertama, saya mengucapkan terima kasih memberikan kepercayaan kepada Selangor sebagai tuan rumah SUKMA dan para SUKMA Ke-22 bagi temasya tahun 2026.
"Bagi atlet Selangor, anak-anak kita yang mewakili Pasukan Merah Kuning, selepas 468 acara sukan yang dipertandingkan, anda berjaya memenangi sebanyak 101 pingat emas, 73 pingat perak, dan 71 pingat gangsa," katanya.
Beliau berkata, sukan adalah wadah pembinaan negara bangsa yang menguji dan mencabar kemampuan individu, semangat berpasukan serta kesungguhan setiap atlet dalam persaingan.
Katanya, setiap individu mempunyai ruang untuk meningkatkan lagi prestasi dan melihat peluang serta ruang untuk beraksi di pentas antarabangsa kelak.
"SUKMA adalah pentas untuk kita melahirkan atlet yang mampu mewakili negara di pentas antarabangsa seperti Sukan Olimpik, Sukan SEA, Sukan Asia, dan Paralimpik.
"Selaku tuan rumah, Selangor bersyukur atas kerjasama setiap kontinjen yang telah menjadikan negeri ini seperti rumah anda selama dua minggu yang telah berlalu," katanya.
Sumber : Berita Harian

