MAHA 2026: Agrobank tawar cabutan bertuah motor setiap hari
Penyedia perkhidmatan kewangan, Agrobank bakal menawarkan hadiah berupa motosikal Y16 ZR dan Aveta Nova 200 untuk dimenangi pengunjung setiap hari, sepanjang penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Agrobank, Zulhisham Zailan berkata, bagi memenangi hadiah itu, pengunjung perlu membeli produk takaful serendah RM10, seterusnya berpeluang menyertai cabutan bertuah di Pavilion Agrobank.
“Produk takaful berkenaan memberi perlindungan kepada pencarum sehingga RM10,000.
“Dengan bayaran pembelian RM10 itu, setiap hari pencarum berpeluang memenangi cabutan bertuah. Kalau ada rezeki pengunjung ada di situ, terus bawa balik motosikal,” katanya pada sesi sidang akhbar selepas Program Pickleball bersama Kelab Media Putrajaya, di sini semalam.
Untuk maklumat, MAHA 2026 akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) dari 28 Ogos hingga 6 September dengan bertemakan Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan selain mengetengahkan konsep pemodenan dan inovasi pertanian serta pelbagai produk.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agrobank juga menyediakan khidmat nasihat kewangan, maklumat pembiayaan serta sokongan pembangunan perniagaan kepada pengunjung sepanjang MAHA 2026.
“MAHA memberi ruang kepada pengunjung, khususnya petani, usahawan serta pemain industri dalam sektor pertanian dan agromakanan untuk berbincang secara langsung mengenai cabaran dan keperluan perniagaan.
“Mereka juga boleh mendapatkan penerangan mengenai pembiayaan, pengurusan kewangan dan kemudahan digital yang sesuai berdasarkan skala serta peringkat perkembangan perniagaan masing-masing,” katanya.
Sepanjang MAHA 2026, Agrobank akan mengetengahkan beberapa kempen untuk pelbagai segmen pelanggan termasuk Kempen Mega Million 3.0 yang menawarkan mata penyertaan berganda kepada pelanggan individu yang membuka akaun AgroPrimaS dengan deposit minimum RM500.
Katanya, menerusi pendaftaran itu, mereka berpeluang untuk memenangi hadiah utama sebuah Ford Ranger Raptor pada akhir kempen.
“Kempen Heritage Gold Wheel Series pula menawarkan koleksi syiling eksklusif kepada pelanggan AgroGold Account-i yang membuat pembelian minimum 15 gram dalam satu resit.
“Kempen AgroMuda-i PLUS pula memupuk amalan menabung secara konsisten dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
“Pelanggan terawal yang membuka akaun dengan deposit minimum RM150 sepanjang MAHA 2026 berpeluang memperoleh Figurin Koleksi Edisi Terhad Agrobank,” katanya.
Pada masa sama, Agrobank turut membawakan Jom Cashless MAHA 2026 bagi menggalakkan penggunaan DuitNow QR Agrobank dalam kalangan penjaja.
Dua penjaja bertuah berpeluang memenangi sebuah motosikal setiap seorang menerusi cabutan bertuah yang terbuka kepada penjaja yang merekodkan sekurang-kurangnya 1,000 transaksi atau nilai transaksi keseluruhan RM20,000 sepanjang MAHA 2026.
“Selain itu, hadiah tunai RM200 turut ditawarkan setiap hari kepada penjaja yang mencatatkan nilai transaksi harian tertinggi.
“Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA (Edisi Khas MAHA 2026) juga akan terus diperkenalkan kepada lebih ramai usahawan, susulan sesi libat urus yang telah diadakan di pasar tani seluruh negara,” katanya.
Skim ini menawarkan kemudahan pembiayaan antara RM1,000 hingga RM100,000, yang mana 100 usahawan terawal yang layak berpeluang menerima parasol eksklusif Agrobank sepanjang MAHA 2026.
Sumber : KOSMO!

