Rabu, Jun 16, 2010

ASD agih pendapatan 6.35 sen seunit


KUALA LUMPUR 15 Jun - Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.35 sen seunit untuk Amanah Saham Didik (ASD) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2010.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM207.75 juta iaitu peningkatan sebanyak 33.50 peratus berbanding RM155.59 juta yang di bayar tahun lalu.

''Sepanjang tahun kewangan ASD, arah aliran pasaran saham menunjukkan peningkatan berterusan sejak separuh tahun kedua 2009 berikutan pengumuman data-data ekonomi yang positif di peringkat global dan domestik.

''Melalui strategi pelaburan berhemat, tabung ASD telah menjana pendapatan yang selaras dengan situasi pelaburan semasa,'' katanya pada sidang akhbar pengumuman agihan pendapatan ASD di sini hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Tambah Ahmad Sarji, sehingga 11 Jun lalu, tabung ASD telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM258.33 juta.

''Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM89.09 juta atau 34.49 peratus kepada jumlah pendapatan kasar.

''Keuntungan daripada jualan saham dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM149 juta atau 57.68 peratus. Selebihnya, RM20.24 juta atau 7.83 peratus diperoleh melalui pendapatan pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain,'' jelasnya.

ASNB merupakan anak syarikat PNB.

Agihan pendapatan ini akan dimanfaatkan oleh 293,504 pemegang unit yang melanggan 3.59 bilion unit ASD.

Urus niaga ASD akan ditangguhkan mulai 23 hingga 30 Jun ini bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan di pejabat dan ejen-ejen ASNB seluruh negara mulai 1 Julai ini apabila urusniaga dibuka semula.

Pembayaran agihan akan dilaksanakan melalui pelaburan semula yang akan dikreditkan ke dalam akaun para pemegang unit pada 1 Julai ini.

Sementara itu, Hamad Kama PIah berkata, sepanjang tahun kewangan semasa ASD sehingga 31 Mei 2010, sejumlah 67,403 pelabur baru telah menyertai ASD iaitu peningkatan sebanyak 29.96 peratus berbanding 1 Julai tahun lalu.

''Jumlah unit pelaburan baru bersih juga meningkat sebanyak 603.22 juta unit atau 21.26 peratus.

''ASD mempunyai kapasiti pembayaran maksimum sebanyak 9.6 sen tetapi hanya akan membayar agihan pendapatan sebanyak 6.35 sen. Bakinya akan dibawa ke hadapan iaitu sebanyak lebih 3.0 sen atau RM109 juta,'' katanya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.